13 termasuk bekas tahanan diculik dalam operasi terbaharu tentera Zionis

RAMALLAH, 6 Jun 2018 — Tentera penjajah Zionis melancarkan kempen baharu memburu penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, dengan menculik 13 orang penduduk termasuk bekas tahahan dari rumah-rumah mereka.

Di Tulkarem, tentera Zionis menyerbu rumah Ahli Parlimen Palestin, Fathi Qarawi, di kem pelarian Nur Shams dan menculik anaknya Hamza, yang juga seorang bekas tahanan.

Dua yang lain turut diculik dari rumah-rumah mereka di kota Tulkarem dan bandar Bal’a.

Manakala di Baitulmaqdis, polis Zionis menyerang masuk beberapa kawasan kejiranan, memecah masuk beberapa buah rumah dan menculik lima penduduk, termasuk kanak-kanak Mohamed Abeedo.

Sementara tiga pemuda Palestin diculik dari rumah mereka di kota Qalqilya dan bandar Beit Rima di barat laut Ramallah. Seorang pemuda dilaporkan cedera ditembak dengan peluru getah dalam satu pertempuran di bandar Beit Rima. Beberapa pertempuran juga tercetus di kejiranan Kafr Saba di Qalqilya.

Di wilayah al-Khalil, tentera Zionis mengeluarkan notis kepada enam bekas tahanan supaya hadir ke pejabat badan perisikan Shin Bet untuk disoal siasat. Tentera turut memecah masuk dan menggeledah rumah syuhada Amer Abu Aisha dan merampas sejumlah wang tunai milik isterinya.

Dalam kejadian berasingan, menara kawalan tentera Zionis di laluan masuk utama ke bandar Beit Hanoun diserang dengan letupan bom buatan sendiri.

Sementara itu, beberapa pertempuran antara pemuda Palestin dan tentera Zionis tercetus di kawasan Mafraq al-Madares di tengah al-Khalil.

(PIC, IMEMC)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts