14 penduduk Palestin termasuk bekas tahanan diculik

BEIT LAHM, 20 Ogos 2018 — Tentera penjajah Zionis menculik sekurang-kurangnya 14 penduduk Palestin, termasuk bekas tahanan, dalam operasi di seluruh Tebing Barat sepanjang malam tadi.

Dalam kejadian di Beit Lahm, Ibrahim Hassan Salah, 22, diculik selepas tentera Zionis memecah masuk rumah keluarganya di perkampungan al-Khader. Manakala di perkampungan Harmala, seorang lagi penduduk iaitu Mahmoud Salam Atallah diculik.

Seramai lima orang diculik dari wilayah Baitulmaqdis. Dua daripada mereka, iaitu Zacharia al-Bakri dan Abdullah al-Najib, diculik dari Kota Lama. Manakala dua beradik Uthman dan Muhammad Alqam, serta Yazan Arrar diculik dari kem pelarian Shufat.

Di Ramallah pula, Muhammad Hassan Rashed Elayyan diculik dari kem pelarian al-Jalazun. Beberapa buah rumah dipecah masuk dan digeledah di kem tersebut sehingga mencetus pertempuran, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Di wilayah Nablus, tentera Zionis memecah masuk rumah bekas tahanan Wafaa al-Damouni dan menculik beliau. Beliau sebelum ini pernah dikurung dalam penjara selama lebih 15 tahun.

Sementara di Qalqiliya, tiga orang penduduk diculik iaitu Adib Farah Zain al-Din, Abdullah Bassem Shanaa dan Ibrahim Balasma.

Dua lagi penduduk, Ahmad Hassan Hantouli dan Nidal Muhammad Hantouli, diculik dari wilayah Jenin.

(Maan, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts