RAMALLAH, 14 Apr 2019 — Sekurang-kurangnya 14 penduduk Palestin termasuk Datuk Bandar Baitulmaqdis diculik oleh tentera Zionis dari beberapa daerah di Tebing Barat sepanjang malam tadi.

Di al-Khalil, dua remaja berumur 15 tahun, Ahmed Jaradat dan Zaid Jaradat, diculik selepas tentera memecah masuk rumah mereka di bandar Sa’ir. Tentera Zionis turut menyerbu kawasan Khilat Hadour, memecah masuk rumah keluarga tahanan Majed al-Natsha dan menyerahkan notis supaya hadir ke sebuah pusat interogasi, sungguhpun beliau telah dikurung dalam penjara sejak tiga bulan lalu.

Sementara di barat daya al-Khalil, dua pemuda Hayel al-Rajoub dan Khalil as-Sous diculik dari rumah-rumah mereka di bandar Dura.

Di Beit Lahm pula, tentera Zionis memecah masuk sebuah rumah di bandar Teqoa dan menyerahkan notis kepada seorang pemuda supaya hadir ke pusat interogasi Shin Bet.

Lima lagi penduduk Palestin diculik dari rumah-rumah mereka selepas tenetra Zionis menggempur perkampungan Far’oun, Tulkarem.

Manakala di Baitulmaqdis, sekurang-kurangnya lima penduduk Palestin diculik termasuk Datuk Bandar, Adnan Ghaith.

Dalam kejadian di Ramallah, tentera Zionis menyerbu rumah-rumah siswi Universiti Birzeit, namun tiada tangkapan dibuat.

(IMEMC, PIC)

SHARE