15 penduduk Palestin diculik

AL-KHALIL, 22 Mei 2018 — Tentera penjajah Zionis menculik sekurang-kurangnya 15 penduduk Palestin dari beberapa daerah di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis sepanjang malam tadi.

Seramai empat orang diculik setelah tentera Zionis menyerbu kota al-Khalil dan kem pelarian al-Aroub dan memecah masuk rumah mereka. Mangsa-mangsa dikenali sebagai Mohamed al-Sharbati, Ahmed Jawabreh, Yehya al-Hur dan Qusi Jawabreh.

Di Ramallah, Ismail Abu Rahma diculik ketika tentera Zionis menyerbu bandar Bil’in.

Sementara di kota suci Baitulmaqdis, tentera Zionis memecah masuk rumah-rumah di daerah al-Issawiya dan menculik lima penduduk. Mereka turut menyerbu bandar Abu Dis, namun tiada tangkapan dibuat.

Di Gaza pula, Bilal Ayman al-Astal yang berasal dari Khan Younis di selatan Gaza telah diculik di lintasan sempadan Erez, utara Gaza. Beliau diarah hadir ke pintu lintasan tersebut untuk disoal siasat bagi mendapatkan permit rawatan, namun diculik selepas siasatan.

Sehingga akhir April lalu, seramai 6,036 penduduk Palestin dikurung dalam penjara Zionis.

(Maan, PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts