15 penduduk Palestin ditangkap di Tebing Barat

RAMALLAH, 9 Apr 2018 — Tentera penjajah Zionis menangkap 15 penduduk Palestin termasuk pemimpin Hamas, bekas menteri Palestin dan juga dua wanita dalam serbuan di Tebing Barat awal pagi tadi.

Dalam kejadian di Jenin, pemimpin Hamas Abduljabbar Jarrar, 53, yang pernah merengkok dalam penjara Zionis selama 12 tahun ditangkap selepas tentera meletupkan pintu rumah beliau, kemudian memecah masuk dan menggeledah.

Tentera Zionis turut memecah masuk dan menggeledah rumah mantan Menteri Hal Ehwal Tahanan Palestin, Masfi Kabha, di kejiranan al-Basateen di Jenin, sebelum mengurung keluarganya dalam sebuah bilik sambil menginterogasi beliau bersama anak lelakinya Osama selama lebih satu jam. Beliau baharu dibebaskan dari penjara dua bulan lalu.

Sementara itu, tentera Zionis menyerbu bandar Salem di timur Nablus dan menggeledah rumah penduduk serta menangkap seorang lagi pemimpin Hamas Awadallah Ishtiyeh. Tentera turut mengeluarkan arahan supaya adiknya Adam hadir ke sebuah pusat interogasi.

Di barat Ramallah, tentera Zionis menceroboh masuk perkampungan Budrus dan memecah masuk rumah-rumah penduduk serta menangkap seorang wanita, Ibtisam Abdul-Hamid.

Tiga yang lain ditangkap dalam serbuan di Nablus, manakala mangsa-mangsa lain ditangkap dari Qalqilya dan Baitulmaqdis.

(IMEMC, PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts