GAZA, 31 mac 2019 — Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan seramai empat penduduk Gaza, termasuk 3 kanak-kanak, terbunuh ditembak oleh tentera penjajah Zionis ketika menyertai ribuan yang lain dalam perhimpunan ulang tahun pertama Great Return March (GRM) di sempadan Gaza.

Kenyataan kementerian menyebut empat orang terbunuh terkena tembakan, sementara 316 orang tercedera termasuk 86 kanak-kanak, 29 wanita, tiga petugas perubatan dan enam orang jurnalis.

Mangsa yang terkorban adalah Mohammed Saad, 20, serta Adham Amara, Tamer Abu al-Kheir, dan Belal al-Najjar yang semuanya berumur 17 tahun.

Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haneyya, dan delegasi Mesir ke Gaza turut menyertai perhimpunan tersebut di timur Kota Gaza.

Penduduk Gaza melancarkan GRM pada 30 Mac 2018 bagi menuntut hak pelarian Palestin pulang ke tanah asal mereka, serta mendesak rejim Zionis menghentikan sekatan ke atas Gaza yang berlarutan sejak 13 tahun lalu. Mereka berhimpun di kem-kem di sepanjang kawasan sempadan setiap minggu.

Tentera Zionis bagaimanapun menyerang perhimpunan aman itu dengan tembakan peluru hidup dan bom gas pemedih mata. Seramai 278 orang telah terbunuh dan lebih 31,000 yang lain tercedera, di mana sekitar 500 daripadanya dalam keadaan kritikal.

(PIC, Maan, Alray)

SHARE