6 Warga Gaza Hilang Apabila Terowong Runtuh

Seramai 6 orang warga Palestin dilaporkan hilang apabila terowong bawah tanah yang menghubungkan selatan Gaza dan Mesir di daerah Rafah runtuh pada hari Rabu, 21 Julai. Sumber-sumber tempatan menyebut bahawa terowong-terowong tersebut terletak berhampiran pintu Shalahiddin di sempadan Mesir-Gaza.

Pengarah Unit Kecemasan bagi Jabatan Kesihatan Palestin, Dr. Muawiyah Hasanain, menyebut bahawa pasukan medik dan penyelamat berusaha masuk ke terowong untuk menyelamatkan mangsa-mangsa tersebut.

Mangsa-mangsa yang terperangkap adalah merupakan pekerja yang membawa masuk barangan keperluan yang tidak dibenarkan masuk oleh rejim Zionis Israel melalui pintu-pintu masuk darat, meskipun rejim pengganas tersebut sering mengumumkan usaha mereka memberi kelonggaran untuk membawa masuk barang-barang keperluan ke Gaza. Kelonggaran untuk membawa masuk keperluan yang sering disebut-sebut oleh rejim Zionis tidak termasuk keperluan asas yang mendesak seperti bahan binaan, makanan asas dan ubatan yang mengcukupi.

Rejim Zionis Israel telah mengenakan sekatan dan embargo ke atas Gaza sejak lebih 4 tahun lalu, menyebabkan ekonomi dan sosial seluruh wilayah Gaza menjadi lumpuh. Namun penduduk Gaza tetap cekal berhadapan dengan kezaliman Zionis dengan membina ratusan terowong bawah tanah di sempadan Gaza-Mesir. Terowong-terowong ini telah menjadi satu-satunya laluan yang efektif untuk membekalkan keperluan asas ke Gaza.

Walaupun kerajaan Mesir berusaha menghapuskan jaringan terowong-terowong ini dengan membina tembok besi sedalam 25 meter ke bawah tanah di sepanjang sempadan, timbul dakwaan bahawa masyarakat Gaza berjaya menggunakan bahan kimia bagi menghancurkan besi-besi yang menghalang laluan terowong.

Jaringan terowong yang terbesar di sepanjang sempadan tersebut telah mengorbankan 141 orang rakyat Palestin, 116 orang daripadanya meninggal dunia antara tahun 2008 dan 2009. Sepuluh orang daripada mereka terkorban apabila diserang oleh pesawat-pesawat perang Israel di kawasan terowong-terowong tersebut. (mn/PIP)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts