600,000 Pendatang Yahudi Tinggal Di Tebing Barat

AL-QUDS, 17 Sep 2015 — Biro Statistik Pusat Palestin (PCBS) mendedahkan kira-kira 600,000 pendatang Yahudi kini tinggal di Tebing Barat, di mana separuh daripadanya adalah di daerah Al-Quds.

Dalam kenyataan media hari ini, PCBS menunjukkan data lengkap tentang agihan penempatan Yahudi di seluruh Tebing Barat dan populasi pendatang di Al-Quds dan Tabing Barat dari tahun 2009 hingga 2014.

Sehingga akhir tahun 2014, sejumlah 150 penempatan Yahudi dibina di Tebing Barat. Sebahagian besarnya dibina di daerah Al-Quds, termasuk 25 buah penempatan yang dibina di atas 16 bidang tanah Palestin yang dirampas dan 10 lagi di Al-Quds Barat.

Bilangan pendatang Yahudi di Al-Quds Timur meningkat kepada 210,420 pada tahun 2014, berbanding dengan 192,768 pada tahun 2009. Manakala di Tebing Barat, bilangan mereka meningkat dari 506,869 pada tahun 2009 kepada 599,901 pada tahun 2014.

Seramai 286,997 pendatang Yahudi, atau 47.8% daripada jumlah populasi mereka di Tebing Barat, bertumpu di daerah Al-Quds, termasuk 210,420 orang di Al-Quds Timur.

Penempatan Yahudi merupakan pencabulan kepada Artikel 49 dalam Konvensyen Keempat Geneva, yang telah menetapkan bahawa pihak penjajah tidak boleh menempatkan atau memindahkan sebahagian daripada penduduk dari wilayahnya ke kawasan yang dijajah.

Majlis Keselamatan, Perhimpunan Agung, Majlis Hak Asasi Manusia dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa semuanya mengesahkan bahawa pembinaan dan perluasan penempatan Yahudi, dan semua aktiviti berkaitan penempatan, di wilayah Palestin yang terjajah adalah merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa.

(WAFA)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts