BAITULMAQDIS, 25 Okt 2018 — Puluhan anggota tentera Zionis yang lengkap dengan buldozer menyerbu perkampungan masyarakat Badwi di al-Khan al-Ahmar, timur Baitulmaqdis, dan menolak tanah di pinggir kawasan tersebut sebelum menyerang aktivis dan penduduk.

Puluhan penduduk Palestin dan aktivis antarabangsa cuba menghalang buldozer tentera Zionis memasuki kawasan al-Khan al-Ahmar, tetapi pasukan jentera tersebut masih berjaya masuk melalui laluan di sebuah kawasan penempatan haram yang berdekatan.

Susulan kejadian, seramai tujuh orang akvitis cedera diserang oleh pegawai polis dan tentera Zionis. Sementera empat yang lain diculik termasuk ketua Jabatan Hubungan Luar Keselamatan Palestin, Riyad Salahat, dan seorang akvitis dari Belanda.

Khan al-Ahmar bakal diroboh pada bila-bila masa. Rejim Zionis merancang untuk memindahkan 181 penduduknya ke lokasi lain bagi memberi laluan kepada perluasan kawasan penempatan haram Kfar Adummim dan membina penempatan Yahudi yang bersambungan dari Laut Merah sehingga ke Baitulmaqdis, yang dinamakan sebagai “Projek E1”.

Di bawah Projek E1, seluas 1,200 hektar tanah penduduk Palestin dirampas untuk pembinaan rumah pendatang Yahudi, sekaligus menjadikan wilayah Tebing Barat terpisah-pisah sehingga sukar untuk ditadbir. Ia juga memisahkan penduduk Palestin dari kota Baitulmaqdis.

(IMEMC, Maan)

SHARE