9 Terkorban di Gaza, 2 Dilanggar Mati di Tebing Barat

gaza0GAZA, 7 Julai 2014 (IMEMC | Al-Ray) — Sembilan warga¬†terkorban dan beberapa yang lain tercedera dalam serangan tentera Zionis ke atas Gaza sejak hari Ahad hingga awal pagi tadi.

Enam daripada mereka yang terkorban merupakan pejuang Briged al-Qassam yang diserang dengan peluru berpandu di kawasan terowongan berdekatan lapangan terbang lama Gaza di Rafah, selatan Gaza. Seorang lagi pejuang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan terdahulu.

Manakala dua orang lagi pejuang Palestin terkorban dalam serangan peluru berpandu Zionis ke atas kenderaan yang mereka naiki di kem pelarian al-Bureij. Badan mereka dilaporkan berkecai akibat terkena serangan tersebut.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Dr Ashraf al-Qodra, menyatakan lima lagi penduduk Gaza, termasuk seorang kanak-kanak dan dua orang gadis remaja, dirawat di hospital apabila tercedera setelah peluru berpandu Zionis meletup berdekatan rumah mereka di Bait Hanoun di utara Gaza.

Satu lagi serangan udara telah menyasarkan bandar al-Qarara di kawasan timur Khan Younis. Peluru berpandu turut dilancarkan ke kawasan Sheikh Radwan di Gaza, menyebabkan kerosakan harta benda tetapi tidak ada kecederaan dilaporkan.

Pejuang Gaza melancarkan puluhan roket ke dalam wilayah yang dijajah oleh Zionis sebagai membalas serangan mereka.

Sementara itu di Tebing Barat petang semalam, seorang pemandu lori Yahudi melanggar tiga orang Palestin di Tulkarm, menyebabkan dua daripada mereka terkorban dan seorang lagi tercedera.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts