Ada Muslim Yang Mendokong Perjuangan Zionisme?

Rata-rata kita  berpandangan yang Zionisme itu ialah trademark manusia berbangsa Yahudi. Daripada satu sudut, ianya betul terutamanya daripada aspek sejarah penubuhannya. Tetapi perlu diingatkan yang bukan semua yang berbangsa Yahudi menyokong Zionisme, bahkan bukan semua pendokong Zionisme itu berbangsa Yahudi.

Ada manusia bukan Yahudi yang kurang atau tidak beragama, tetapi menjadi pendokong kuat Zionisme. Contoh yang paling hampir ialah pemimpin kedua-dua parti politik utama terbesar di Amerika Syarikat, semua mereka tunduk kepada lobi Zionist. Dengan sebab itulah kita tidak terkejut apabila kebanyakan draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengutuk negara haram Israel atau sebarang tindakan ketenteraan Zionist, akan dibatalkan dengan kuasa veto Amerika Syarikat. Yang menentukan siapakah memegang portfolio kanan di Rumah Putih juga adalah tertakluk kepada lobi Zionist yang amat berpengaruh di Amerika Syarikat.

Minbar Nuruddin/Salahuddin selepas dibakar pada tahun 1969Minbar Nuruddin/Salahuddin selepas dibakar pada tahun 1969

Ada juga yang beragama Kristian, tetapi menjadi pendokong Zionisme. Antaranya ialah Denis Michael Roha, seorang pelancong dari Australia yang merupakan penganut kuat pecahan Evangelical Kristian yang dikenali sebagai Worldwide Church of God. Beliau telah bertanggungjawab membakar satu monumen bersejarah simbol kemenangan Islam ke atas Crusades iaitulah minbar Salahuddin al-Ayyubi. Minbar ini asalnya telah dibina oleh Nuruddin Zinki ketika beliau telah menghidu kemenangan Islam semasa Perang Salib, akan tetapi Allah mentaqdirkan yang kemenangan itu berlaku di tangan Salahuddin al-Ayyubi. Salahuddin telah membawa masuk minbar tersebut ke dalam Jami’ al-Aqsa di dalam al-Masjid al-Aqsa setelah mengalahkan tentera Salibiyyah pada tahun 1187 M. Minbar itu bertahan sebagai pentas imam berkhutbah, sehinggalah ke tahun 1969 M, apabila Denis Michael Rohan telah menceroboh ke dalam al-Aqsa lalu membakarnya hingga musnah. Beliau beranggapan yang dengan membakarnya, akan mempercepatkan proses kembalinya Nabi Isa (mengikut kepercayaan Kristian) selepas Israel membina Haikal Sulaiman di atas runtuhan al-Aqsa.

Selain itu, jangan terkejut sekiranya anda dapati segelintir Muslim yang mendokong perjuangan Zionisme. Sejarah telah membuktikan betapa atas semangat kebangsaan Arab, ada segelintir pemimpin Arab yang sanggup bersekongkol dengan pergerakan Zionisme. Mereka melihat Khilafah Uthmaniyyah, yang memimpin negara-negara Islam termasuklah di negara Arab sebagai penjajah tanah air mereka. Mereka yang tidak lagi dapat menerima kepemimpinan Islam di bawah manusia bukan Arab (ajam) daripada Khilafah Uthmaniyyah banyak menunjukkan simpati terhadap Zionisme, dan tidak kurang juga yang memberikan sokongan. Contoh surat sokongan antara pemimpin Arab kepada pemimpin Zionist boleh dilihat di capaian ini. Ada juga laporan menyatakan segelintir penduduk Palestin sanggup menjual tanah kepada pendatang-pendatang haram Yahudi.

Dr. Tawfik Ahmad
Dr. Tawfik Ahmad

Pada zaman moden ini, antara yang menjadi tokoh Muslim yang mendokong Zionisme ialah Dr Taufik Ahmad dan Professor Abdul Hadi Palazzi. Dr Taufik Ahmad adalah seorang bekas ahli kumpulan al-Jama’ah al-Islamiyyah, kumpulan yang dilabekan sebagai kumpulan pelampau di Mesir. Kecewa dengan kumpulan yang disifatkan sebagai radikal itu, akhirnya beliau keluar dan kini menetap di Amerika Syarikat. Beliau kini aktif memenuhi jemputan diskusi dan forum mengenai Islam radikal, serta ‘keamanan’ menurut perspektif dirinya sendiri yang sama dengan pemikiran barat. Beberapa kali keluar di dalam CNN dan Fox News, kerap menulis di dalam akhbar barat, beliau kini merupakan fellow kanan Study of Islamic Radicalism di Potomac Institute for Policy Studies. Kata-kata yang kerap beliau ungkapkan, ialah “Saya ialah Islam daripada sudut kepercayaan, Kristian daripada sudut kerohanian, Yahudi daripada sudut hati, dan lebih daripada itu saya merupakan manusia biasa”.

palazziwnd

Syeikh Palazzi

Professor Abdul Hadi Palazzi pula ialah seorang ahli akademik Itali yang menubuhkan Islam-Israel Fellowship. Beliau berasal dari Rome, dan pernah belajar di Universiti al-Azhar. Bapanya sebelum memeluk Islam merupakan seorang penganut Kristian tempatan, manakala ibunya pula berasal daripada keturunan Syria. Kini, beliau merupakan pemimpin Italian Muslim Assembly, dianggap sebagai ‘Mufti Itali’, serta sering memenuhi jemputan ceramah mengenai pengiktirafan terhadap negara Israel, ‘keamanan’ dunia dan juga Islam radikal.

Kedua-dua mereka adalah penyokong kuat Zionisme. Mereka tanpa segan silu secara terbuka dan berulang kali menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada penubuhan negara haram Israel. Sokongan mereka, walau bagaimanapun, bukannya tanpa hujjah, tetapi mereka menggunakan ‘kecerdikan’ mereka menafsirkan beberapa ayat al-Quran. Antaranya ialah ayat 104 daripada surah al-Isra’:

وَقُلْنَا مِنْ بَعْدِهِ لِبَنِي إِسْرَائِيلَ اسْكُنُوا الأرْضَ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الآخِرَةِ جِئْنَا بِكُمْ لَفِيفًا (١٠٤)

Dan Kami katakan kepada Bani Israil, sesudah Firaun (dibinasakan): “Tinggalah kamu di negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, kami datangkan kamu (ke padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk”.

Dengan tidak mengambil kira ayat-ayat lain yang menceritakan bagaimana Allah mengarah Bani Israel untuk memasuki Palestin, Tawfik Ahmad dan Abdul Hadi Palazzi kerap menggunakan ayat di atas sebagai hujjah utama keabsahan tindakan Yahudi moden menceroboh, menjajah dan merampas tanah milik orang Arab Palestin. Mereka memahami yang ayat di atas sebagai satu pemberian yang diwartakan oleh Allah SWT menganugerahkan tanah Palestin kepada Bani Israel.

Secara ringkas, metodologi yang mereka gunakan untuk memahami ayat di atas adalah salah. Di dalam memahami nas al-Quran, seseorang tidak boleh beriman dengan sepotong ayat, tetapi mengingkari ayat yang lain. Sekiranya merujuk kepada ayat-ayat al-Quran lain mengenai sejarah Bani Israel dan Palestin, kita akan secara mudah memahami yang Palestin itu hanyalah diberikan oleh Allah kepada Bani Israel yang beriman dengan Allah SWT. Allah tidak sewenang-wenangnya memberikan negara itu kepada mereka tanpa syarat. Sebagai contoh, ayat 20-24 daripada surah al-Ma’idah:

وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنْبِيَاءَ وَجَعَلَكُمْ مُلُوكًا وَآتَاكُمْ مَا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِنَ الْعَالَمِينَ (٢٠)يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الأرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلا تَرْتَدُّوا عَلَى أَدْبَارِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ (٢١)قَالُوا يَا مُوسَى إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَنْ نَدْخُلَهَا حَتَّى يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنَّا دَاخِلُونَ (٢٢)قَالَ رَجُلانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمَا ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غَالِبُونَ وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (٢٣)قَالُوا يَا مُوسَى إِنَّا لَنْ نَدْخُلَهَا أَبَدًا مَا دَامُوا فِيهَا فَاذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلا إِنَّا هَا هُنَا (٢٤)

20. Dan (ingatkanlah mereka Wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan ia memberikan kepada kamu barang Yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.
21. (Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.
22. mereka menjawab: “Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)”.
23. berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah Tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman”
24. mereka (Menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, Sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah Engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”.

Begitu juga dengan ayat 58 daripada surah al-Baqarah:

وَإِذْ قُلْنَا ادْخُلُوا هَذِهِ الْقَرْيَةَ فَكُلُوا مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ رَغَدًا وَادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا وَقُولُوا حِطَّةٌ نَغْفِرْ لَكُمْ خَطَايَاكُمْ وَسَنَزِيدُ الْمُحْسِنِينَ (٥٨)

58. dan (kenangkanlah) ketika kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.

Dua petikan Firman Allah di atas, hanyalah sebahagian daripada beberapa ayat lain di dalam al-Quran yang menceritakan betapa Palestin itu diwarisi dengan bersyarat. Syarat utamanya ialah, mereka yang diberikan hak ke atas Palestin itu mestilah terdiri daripada mereka-mereka yang beriman, serta tunduk kepada arahan Allah. Sekiranya mereka kufur dengan arahan Allah, maka hilanglah hak berkenaan. Beriman serta tunduk kepada Allah, ini ialah kualiti yang hilang daripada bangsa Yahudi sekarang.

Selain itu, Syeikh Mutawalli Sha’rawi juga berpandangan ayat 104 daripada surah al-Isra’ di atas tidak bermaksud yang Allah memberikan negara Palestin kepada orang Yahudi. Ini kerana yang dimaksudkan dengan al-Ard di dalam ayat di atas ialah tanah atau mana-mana negara secara umum sahaja, tanpa dikhususkan kepada Palestin, dan ini terbukti yang orang-orang Yahudi walaupun jumlah mereka sedikit, tetapi berselerakan di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Ini disokong dengan ayat 168 daripada surah al-A’raf yang membawa maksud Allah menyelerakkan bangsa Yahudi ini ke seluruh dunia.

Kesimpulannya, kita perlu memahami yang Zionisme itu adalah satu pergerakan politik untuk kepentingan bangsa Yahudi yang diperjuangkan bukan oleh orang Yahudi semata-mata. Telah terbukti yang penganut agama lain termasuk Islam sendiri menjadi penyokong kuat Zionisme. Dalam konteks yang lebih khusus dalam kehidupan kita, berhati-hatilah daripada menjadi penyokong Zionisme secara tidak sedar. Kita boleh menjadi kumpulan ini sekiranya kita bersikap tidak peduli dengan kezaliman yang berlaku di Palestin, mengikut hiburan tajaan Zionist, serta terus menerus membeli produk syarikat-syarikat yang menyokong Zionisme.

Oleh: Ustaz Ahmad Irfan Ikmal Hisham (abidfana.com)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts