Ahli Parlimen Palestin Dibebaskan, 33 Masih Ditahan

mpJENIN, 11 Sept 2014 (Ma’an) — Rejim Zionis telah membebaskan seorang ahli parlimen Palestin Khalid Yahya Said, 56 tahun, dari penjara Meggido. Beliau yang merupakan seorang wakil Hamas di Jenin telah ditahan dalam kempen serbuan dan tangkapan yang dilakukan tentera Zionis di Tebing Barat berikutan insiden penculikan tiga pendatang Yahudi bulan Julai lalu.

Pengarah pertubuhan hak asasi Ahrar, Douad al-Khafash, bagaimanapun memaklumkan seramai 33 orang ahli parlimen dan dua orang menteri Palestin masih ditahan, semuanya di bawah tahanan pentadbiran tanpa sebarang pendakwaan atau pengadilan.

Sebahagian besar daripada ahli parlimen tersebut ditahan sepanjang bulan Jun dan Julai lalu apabila rejim Zionis menangkap ramai individu yang dikatakan ada kaitan dengan Hamas. Zionis menuduh Hamas bertanggungjawab dalam kes penculikan dan pembunuhan tiga pendatang tersebut.

Sungguhpun Hamas menafikan tuduhan tersebut, tentera Zionis secara agresif menangkap lebih 600 orang Palestin dalam kempen mencari penjenayah.

Rejim Zionis akhirnya mendakwa tiga invididu sebagai terlibat dalam pembunuhan tersebut serta mendedahkan kepada umum identiti mereka. Sungguhpun begitu, Zionis masih tidak membebaskan mereka yang ditangkap dalam kempen tersebut.

Lebih 7,000 rakyat Palestin sedang ditahan oleh rejim ZIonis di mana 500 daripadanya di bawah tahanan pentadbiran.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts