Amnesty: Pelarian yang Pulang ke Syria Ditangkap, Diculik dan Diseksa

LONDON, 7 Sep 2021 — Laporan Amnesty International mendedahkan seramai 66 pelarian Syria yang pulang ke kampung asal mereka telah ditahan, diculik, dan diseksa oleh tentera Syria.

Laporan bertajuk “You’re going to your death” itu menyebut bahawa 13 daripada pencabulan hak tersebut melibatkan kanak-kanak, yang semuanya berlaku antara pertengahan 2017 dan musim bunga 2021.

Menurut The Associated Press, lima mangsa telah meninggal dunia ketika dalam tahanan sementara lokasi 17 orang yang diculik masih belum diketahui.

Pada bulan Mac, pemerintah Denmark mengisytiharkan bahawa ibukota Syria, Damsyik, dan kawasan lain di bawah kawalan rejim Assad adalah selamat. Atas dasar itu, Denmark boleh membatalkan kebenaran pelarian Syria tinggal di negara itu, dan boleh pulang ke negara asal.

Berdasarkan keputusan ini, para pencari suaka boleh dideportasi dari Denmark. Bagaimanapun, Denmark tidak meratifikasi perjanjian ekstradisi, menyebabkan pelarian Syria akan ditahan di pusat-pusat deportasi untuk jangka waktu yang tidak ditentukan.

Pertubuhan hak asasi dan pakar kemanusiaan telah memberi amaran agar pelarian Syria tidak dihantar pulang kerana ancaman dipaksa bertugas untuk rejim pemerintah, penangkapan dan penahanan secara sembarangan, dan penculikan di kawasan-kawasan yang dikawal oleh rejim Assad. Tambahan lagi, kawasan terbabit tidak mempunyai perkhidmatan asas, termasuk air dan elektrik.

Penyelidik hak asasi dan pelarian Amnesty, Marie Forestier, menegaskan: “Mana-mana pihak yang mendakwa Syria adalah sebuah negara yang selamat ketika ini, secara sengaja mengabaikan hakikat yang mengerikan di lapangan, sekaligus meletakkan para pelarian dalam kebimbangan terhadap nyawa mereka.”

(MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts