GURUN NAQAB, 15 Ogos 2019 — Selepas berjuang menuntut hak mereka melalui pelbagai saluran selama 13 tahun, penduduk Badwi di perkampungan Rahma akhirnya dibenarkan memberi pendidikan kepada anak-anak mereka di sebuah sekolah sementara.

Rahma adalah salah sebuah perkampungan Badwi Palestin yang “tidak diiktiraf” oleh rejim Zionis di Gurun Naqab. Seramai 850 orang tinggal di situ, di mana anak-anak mereka terpaksa berulang-alik sejauh 26 kilometer untuk ke sekolah.

Rejim Zionis membenarkan sebuah sekolah beroperasi menggunakan struktur sementara di dalam kawasan zon tentera berdekatan bandar Yeruham, di mana tentera Zionis sering menjalankan latihan.

Tiga minggu lalu, tentera Zionis bersetuju untuk membenarkan sebahagian kecil daripada zon tentera itu diguna untuk pembinaan sekolah sementara.

Walaupun rejim Zionis membenarkan pembinaan sekolah sementara itu, status perkampungan Rahma tetap tidak berubah. Rejim Zionis pernah mengusulkan supaya mereka dipindahkan ke kawasan lain, dan mereka sebelum ini pernah meroboh sebuah bangunan tadika yang dibina di Rahma.

(MEMO)

SHARE