Antara Tragedi Mavi Marmara dan Keprihatinan Dunia

Bandar Baru Uda, Johor Bharu, Selasa 15hb Jun — LEBIH 400 orang hadir ke Masjid Bandar Baru Uda, bagi mengikuti wawancara bersama aktivis Mavi Marmara dan tahanan penjara Zionis Israel di Be’er Sheva. Ahli jawatankuasa masjid telah menjemput Ustaz Hasannuddin Yusof daripada Aqsa Syarif dan Dr Mohd Arbaei Shawal daripada HALUAN untuk berkongsi pengalaman mereka dalam sesi yang berlangsung hampir 2 jam.

Kehadiran begitu ramai jemaah lelaki dan wanita yang memenuhi ruang masjid ini menggambarkan keprihatinan masyarakat tempatan terhadap permasalahan Palestin.

Pada sesi awal majlis tersebut, Dr Mohd Arbaei Shawal menegaskan bahawa permasalahan Palestin adalah satu perkara yang berkaitan dengan aqidah umat Islam, masalah yang tidak akan berakhir sehingga ke hari kiamat selagi Palestin tidak dimerdekakan dan Masjid Al Aqsa dibebaskan.

Selain daripada itu, beliau juga menceritakan perihal tragedi serangan komando-komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara pada 31hb Mei. Dalam kejadian tersebut, aktivis-aktivis yang berada di dalam kapalMavi MArmara telah diperlakukan dengan ganas dan tidak berperi-kemanusiaan. Sebagai seorang doktor perubatan, beliau menceritakan detik-detik yang cemas dan tidak boleh dilupakan sewaktu komando Israel menembak secara rambang ke arah para aktivis, hinggakan ramai yang terkorban dan tercedera akibat terkena tembakan. Beliau juga sempat mencium tiga orang yang terkorban, dan mendapati bau mayat syuhada itu wangi bagaikan haruman kasturi.

Dr Arbaei turut menyeru supaya masyarakat Islam bangkit dari lena, kerana tragedi kemanusiaan di Gaza ini bukanlah isu yang sementara atau boleh diambil ringan. “Sekiranya diizinkan Allah, saya rindu untuk menjejakkan kaki ke Gaza,” tegas Dr Arbaei, menunjukkan betapa prihatinnya beliau terhadap permasalahan ini.

Ustaz Hasannudin pula menyatakan bahawa peristiwa tragis kepada kapal Mavi Marmara telah memberi tekanan hebat kepada rejim Zionis Israel, dan dalam masa yang sama telah dapat membuka mata seluruh dunia terhadap kekejaman yang dilakukan selam ini terhadap rakyat Palestin, terutamanya di Gaza.

Beliau juga menceritakan bagaimana sewaktu kapal Mavi Marmara ditawan, beliau telah dipijak-pijak oleh komando-komando Zionis sambil ketawa. Komando-komando Zionis menjadikan badan beliau sebagai tempat laluan, di mana mereka yang lalu lalang disitu akan memijak badan beliau. “Sewaktu dipijak, saya teringat kepada satu ayat al-Quran yang menyatakan bahawa kaum Yahudi ini adalah kaum perosak. Dan sekarang ini, saya merasakan ayat itu secara realiti,” kata Ustaz Hasannuddin.

Beliau yang juga Pengerusi Aqsa Syarif turut memberitahu jemaah masjid bahawa pihak Aqsa Syarif ada menyediakan skim bantuan anak-anak yatim Palestin. Beliau sangat mengalu-alukan masyarakat Malaysia supaya dapat merebut peluang untuk  menyara anak-anak yatim itu secara bulanan.

Pengerusi wawancara, Ustadz Hairozi telah merumuskan bahawa konvoi “Lifeline For Gaza (LL4G)” atau “Freedom Flotilla” telah membawa satu kejayaan bagi meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat dunia terhadap permasalahan kepongan dan sekatan rejim Zionis Israel di Gaza. Rejim Israel yang berhadapan dengan tekanan dari pelbagai pihak telah mula memberi kelonggaran kepada penduduk Gaza. Tugas dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam masih banyak, dan sokongan dari segenap lapisan masyarakat terus diperlukan sehinggalah permasalahan isu Palestin dan pembebasan Masjid Al Aqsa tercapai.

Sumbangan dan jualan amal daripada pihak HALUAN dan Aqsa Syarif turut diadakan pada malam tersebut.

Laporan disediakan oleh Biro HALUAN Palestin dan Kelab Siswa HALUAN Negeri Johor.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts