Apa Yang Perlu Kita Tahu Tentang Bab Ar-Rahmah?

Sejarah Bab Ar-Rahmah

Bab Ar-Rahmah merupakan pintu masuk Masjid Al-Aqsa yang paling besar dan cantik, sehingga orang Barat menggelarkannya sebagai Golden Gate (Pintu Emas). Perkataan Bab, yang bermaksud “Pintu”, agak mengelirukan, kerana ia sebenarnya sebuah bangunan kecil selepas sebuah pintu masuk utama menuju ke Masjid Al-Aqsa yang digunakan pada zaman Umayyah.

Bab Ar-Rahmah, juga dikenali sebagai Bab ad-Zahabi, dibina sejak zaman pertengahan namun masa sebenar ia dibina menjadi suatu perdebatan, dari pemerintahan Romawi sehinggalah ke peringkat awal pemerintahan Umayyah.

Di hadapan pintu ini terdapat tanah perkuburan Ar-Rahmah, di mana dua sahabat Rasulullah SAW iaitu Ubadah bin Samit dan Shaddad bin Aus dikebumikan.

Imam Al-Ghazali menulis sebahagian daripada kitab terkenal Ihya Ulumiddin ketika tinggal dan mengajar di sini.

Bab Ar-Rahmah ditutup ketika pemerintahan Islam pada tahun 810, namun dibuka semula pada tahun 1102 selepas tentera Salib menguasai Baitulmaqdis. Selepas kembali menguasai Baitulmaqdis pada tahun 1187, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi menutupnya semula dengan binaan batu untuk menghalang serangan musuh. Kemudian, Sulaiman Al-Qanuni (Sultan Sulaiman Yang Hebat dari Kerajaan Uthmaniyah) membinanya semula sekaligus dengan tembok kota Baitulmaqdis, sebelum ditutup lagi pada tahun 1541. Sejak itu, ia kekal ditutup sehingga hari ini.

Kepercayaan Yahudi dan Kristian Berkaitan Bab Ar-Rahmah

Sebahagian penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa AS akan memasuki Masjid Al-Aqsa melalui Bab Ar-Rahmah apabila turun semula ke bumi. Menurut kepercayaan (yang direka oleh) beberapa kelompok Yahudi pula, Al-Masih akan masuk ke Masjid Al-Aqsa dari Bab Ar-Rahmah dan akan membina semula Haikal mereka.

Mengapa Bab Ar-Rahmah Dianggap Penting oleh Yahudi?

Rejim Zionis merancang untuk membina sebuah sinagog berdekatan Bab Ar-Rahmah, dan membuka semula pintu tersebut. Tidak hairan apabila polis Zionis menangkap sesiapa sahaja yang mendekati kawasan tersebut. Bahkan mereka telah membina sebuah stesen polis di situ.

Setakat ini, terdapat sekurang-kurangnya 190 buah sinagog di sekitar serta bawah Masjid Al-Aqsa. Rejim Zionis telah beberapa kali mengumumkan rancangan untuk membina sebuah sinagog di halaman timur Al-Aqsa, berdekatan Bab Ar-Rahmah. Bab ar-Rahmah bakal menjadi sebuah sinagog baharu di jantung Masjid Al-Aqsa.

Bagi Yahudi, Bab Ar-Rahmah adalah lebih strategik berbanding Dataran Al-Burak (Tembok Ratapan) yang dijadikan tempat upacara ritual, kerana ia terletak lebih dekat dengan Kubah as-Sakhra’. Mereka percaya Kubah as-Sakhra’ dibina di atas tapak asal runtuhan kuil mereka.

Rentetan Rancangan Yahudi

Harus kita faham bahawa Yahudi berusaha secara bertahap untuk menguasai Al-Aqsa, bukan untuk menghancurkannya sebagaimana yang disangka oleh sebahagian orang. Mereka bertindak dalam langkah-langkah kecil untuk melihat reaksi umat Islam. Jika tiada reaksi, maka mereka maju selangkah lagi. Namun jika ada reaksi dari umat Islam, mereka berhenti dan menunggu sehingga keadaan kembali tenang.

Setelah berjaya menguasai Tembok Al-Burak di barat Masjid Al-Aqsa pada tahun 1967, mereka kemudian mengalihkan perhatian ke kawasan selatan dan timur Al-Aqsa.

Di kawasan selatan yang menempel dengan Al-Aqsa, mereka gigih membuat galian untuk menjejak kesan binaan kuil. Tetapi apa yang mereka temui hanyalah kesan istana Umayyah. Meskipun itu adalah penemuan bersejarah milik umat Islam, mereka tetap menguasainya dan membuat beberapa perubahan di dalamnya, agar dapat mengaitkannya dengan kesan Taurat.

Di sebelah timur pula, mereka telah merancang untuk menguasai Masjid Marwani, iaitu sebuah dewan solat yang berada di bawah tanah yang boleh memuatkan 5,000 ahli jamaah. Namun Al-Harakah Al-Islamiyah (gerakan Islam) berjaya membaik pulih bangunannya pada tahun 1996, sekaligus menggagalkan rancangan Zionis untuk menguasainya.

Tidak jauh dari Masjid Al-Marwani terdapat Bab Ar-Rahmah dan halaman timur Masjid Al-Aqsa, yang menjadi sasaran seterusnya.

Sebelum ini, pejabat Dewan Zakat Baitulmaqdis berada dalam bangunan Bab Ar-Rahmah. Polis Zionis menutupnya pada tahun 2003, dengan alasan ia menyokong keganasan. Sejak dari itu, pejabat tersebut tidak lagi digunakan.

Pada bulan Julai 2017, Pengarah Akademi Al-Quran di Masjid Al-Aqsa, Dr. Najah Bakirat, membuat kenyataan amaran supaya Jabatan Wakaf mengambil langkah segera untuk memulihkan kawasan timur Al-Aqsa. Ini adalah kerana rejim Zionis giat berusaha untuk membuktikan bahawa kawasan tersebut telah ditinggalkan terbiar dan tidak lagi diguna, dan tidak ada apa-apa di situ kecuali timbunan tanah dan batu.

Bukit kecil berdekatan Bab Ar-Rahmah terbentuk dari buangan runtuhan dan serpihan kerja pemulihan Masjid Al-Marwani pada tahun 1996.

Rejim penjajah melarang serpihan dan batu runtuhan tersebut dibawa keluar dari Al-Aqsa atau dibersihkan, mahupun melakukan sebarang pekerjaan di situ. Para pemuda dari Gerakan Islam berusaha membersihkan tempat itu sepanjang tempoh Intifadah Al-Aqsa, namun tetap dihalang oleh pihak penjajah.

Pada bulan Ramadan lalu, jemaah masjid cuba untuk membersihkan bukit kecil Ar-Rahmah agar tempat itu menjadi selesa untuk duduk berehat atau mendirikan bersolat. Namun polis Zionis merosakkan kerja pembersihan itu dan menghancurkan semua koridor dan tempat-tempat yang dibina di situ.

Dalam pada itu, rejim Zionis telah menguasai sebahagian daripada kawasan tanah perkuburan Bab Ar-Rahmah dan menghancurkan sebahagiannya, sebagai permulaan bagi projek pembinaan laluan kereta kabel khusus untuk Yahudi, menghubungkan Jabal At-Thur (Az-Zaitun) sehingga ke Bab Ar-Rahmah.

Pendatang Yahudi kebelakangan ini menceroboh masuk ke tanah perkuburan Bab Ar-Rahmah dan melakukan ritual secara terang-terangan di situ. Kini penduduk Islam dilarang mengebumikan jenazah di situ.

Polis Zionis mengambil langkah untuk mengunci pagar masuk Bab Ar-Rahmah, walaupun bangunan itu memang sudah ditutup sejak lebih 16 tahun lalu, agar semakin mendekati rancangan mereka yang seterusnya untuk mempercepat proses Yahudisasi tempat tersebut, dan menguasainya serta melakukan berbagai perubahan besar di dalamnya agar tercapai cita-cita untuk mendirikan sinagog mereka. Seterusnya, mengubah Masjid Al-Aqsa selamanya menjadi Haikal seperti yang ada dalam kepercayaan mereka.

Perkembangan Mutakhir

Dalam beberapa bulan terakhir, pendatang Yahudi menceroboh masuk Al-Aqsa dan kemudian melakukan ritual Taurat secara tersembunyi apabila mereka tiba berdekatan Bab Ar-Rahmah. Pada ketika seperti itu, polis Zionis melarang orang Islam berada di lokasi tersebut.

Polis Zionis juga menangkap para murabitun (penjaga masjid) dan ahli jamaah dengan tuduhan “berada berdekatan Bab Ar-Rahmah”.

Keadaan menjadi tegang pada 21 Februari 2019, apabila jemaah Al-Aqsa berjaya membuka rantai kunci pagar masuk ke Bab Ar-Rahmah dan mendirikan solat di situ. Peristiwa itu menyentak Yahudi yang selama ini cuba mengawalnya.

Lebih 20 murabitun dan 150 ahli jemaah Al-Aqsa termasuk imam, ulamak dan pemimpin tertinggi Jabatan Wakaf, telah ditangkap.

17 Mac lalu, Mahkamah Majistret Zionis di Baitulmaqdis memutuskan untuk menutup semula Bab Al-Rahmah sedangkan mereka tidak ada sebarang hak ke atas Masjid Al-Aqsa. Yahudi terus cuba menghasut, termasuklah dengan mencetus kebakaran kecil, agar mereka dapat mencari alasan untuk menghalang semula umat Islam daripada menguasai Bab Ar-Rahmah.

Peranan Kita

Yahudi akan terus dengan perancangan mereka selagi mana umat Islam tetap tidur, tidak sedar atau bertindak menghalang rancangan mereka.

Sikap pemerintah Jordan, iaitu pihak yang diberi kuasa sepenuhnya ke atas keseluruhan Masjid Al-Aqsa serta semua binaan yang ada di dalamnya melalui Jabatan Wakaf, yang berdiam diri terhadap tindakan rejim Zionis meninggalkan hanya para murabitun dan penduduk Islam Palestin sebagai benteng terakhir.

Justeru, apa yang boleh kita lakukan?

  • Bina kesedaran, terutama dalam kalangan generasi muda, tentang kepentingan Al-Aqsa serta Baitulmaqdis kepada umat Islam.
  • Faham dan yakin bahawa kebangkitan Islam akan terkait dengan pembebasan semula bumi Baitulmaqdis, oleh itu kita harus turut serta dalam semua perjuangan pembebasannya.
  • Sumbangkan tenaga, ide dan wang ringgit untuk menjayakan program imarah Masjid Al-Aqsa dan membantu para murabitun. Jangan sekali-kali biarkan mereka bersendirian behadapan dengan kejahatan Zionis.
LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts