Apakah GRM berjaya mencapai objektifnya?

LONDON, 8 Nov 2018 — Penduduk Palestin di Gaza sejak 32 minggu lalu telah mengadakan perhimpunan demonstrasi besar-besaran, mendesak dihentikan sekatan dan menuntut hak kembali ke tanah air asal mereka ketika diusir pada tahun 1948 bagi memberi laluan kepada penubuhan negara haram Zionis.

Lapan bulan berlalu, dan tiga kementerian Palestin mengumumkan pakej bantuan melibatkan bantuan segera bernilai US$5 juta kepada 50,000 keluarga, elaun bulanan $US200 kepada 5,000 keluarga mangsa yang terbunuh atau tercedara parah ketika menyertai “Great Return March (GRM)”, bayaran 60% gaji bagi bulan Julai kepada pekerja awam dan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan untuk graduan universiti.

Sementara itu Selasa lalu, Duta Qatar Mohammed Al-Emadi mengumumkan beliau akan melawat Gaza bagi memantau perkembangan projek-projek yang dibiayai oleh kerajaannya, serta melancarkan projek-projek baharu. Pengumuman dibuat hanya seminggu selepas Qatar membekalkan minyak untuk stesen janakuasa elektrik tunggal Gaza, sekaligus membekalkan elektrik untuk tempoh lebih lama daripada kebiasaannya.

Beliau juga menjanjikan lebih banyak lagi usaha-usaha lain.

Penganalisa politik Naji al-Zaza yang dikatakan rapat dengan pimpinan Hamas berkata, “Persefahaman untuk mengakhiri sekatan membawa kepada bayaran gaji utuk 43,000 keluarga, peluang pekerjaan untuk 10,000 graduan universiti, $US5 juta untuk 50,000 keluarga miskin, $US200 elaun bulanan untuk keluarga syuhada dan mereka yang tercedera, perluasan zon menangkap ikan dari tiga kepada 12 batu nautikal, dan banyak lagi akan menyusul.”

Mantan ahli Biro Politik Hamas yang juga seorang jurnalis, Mustafa Al-Sawwaf, mengesahkan bahawa ini adalah “langkah pertama dan banyak lagi akan menyusul.”

Di lapangan, jawatankuasa GRM dan Breaking the Siege telah mengambil langkah-langkah bagi meredakan aktiviti. Langkah ini sangat jelas dalam arahan kepada peserta perhimpunan supaya tidak mendekati kawasan pagar sempadan atau mencetus bantahan menjadi suasana kecoh. Tindakan tersebut berjaya mengurangkan bilangan mangsa pada perhimpunan hari Jumaat lalu. Sumber-sumber pihak perubatan melaporkan hanya 32 orang tercedera, termasuk 25 mangsa serangan gas dan tujuh yang lain cedera ringan terkena tembakan peluru hidup dan peluru getah. Media Zionis, Channel 14, petang Selasa lalu melaporkan: “Tujuh hari berlalu tanpa belon dan layang-layang diterbangkan dari Gaza.”

Penganalisa Avi Bar’el berkata GRM menunjukkan bahawa rejim Zionis telah mengenakan sekatan bagi memaksa penduduk Palestin bangkit memberontak Hamas, sebaliknya mereka keluar menentang penjajah, memaksa rejim Zionis berunding damai.

Fatah bagaimanapun mendakwa pencapaian tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan rancangan Amerika yang dikenali sebagai “Deal of the Century [Kesepakatan Abad Ini]”. Pegawai kanan Fatah, Azzam Al-Ahmad, memberitahu sebuah stesen radio bahawa “persefahaman-persefahaman ini merupakan anjakan yang jelas bagi kesepakatan Amerika…. Ini membuktikan Hamas dan kumpulan-kumpulan yang digelar sebagai pejuang di Gaza tidak lagi menentang Zionis, tetapi bersamanya [Zionis] dalam menentang kedaulatan Palestin – iaitu PLO.”

Pemimpin kanan Barisan Pembebasan Palestin [PFLP – pertubuhan sosialis yang membentuk PLO dan Fatah] di Gaza, Rabah Muhanna, memberi amaran “semua kumpulan-kumpulan Palestin jatuh ke dalam perangkap Kesepakatan Abad Ini.”

“Penjajah Zionis dan kerajaan-kerajaan Arab cuba menggunakan langkah-langkah ini, yang diumumkan malam tadi, untuk memisahkan Gaza dari Tebing Barat dan menguburkan cita-cita kebangsaan Palestin demi Kesepakatan Abad Ini”, tegas beliau.

Sementara pemimpin Jihad Islami Khaled Al-Batsh berkata, “Kemudahan-kemudahan ini adalah hasil daripada pengorbanan penduduk Palestin di Gaza.” Beliau menegaskan bahawa kumpulan pejuang Palestin, termasuk pergerakannya, “tidak akan pernah putus asa untuk mencapai aspirasi penuh Palestin.”

Seorang penganggur di Gaza, Ali Hussein, dalam kenyataan beliau kepada media Middle East Monitor (MEMO) menyebut, “Kami menerima semua langkah-langkah ini bagi melegakan keadaan kerana kami percaya ini adalah langkah pertama untuk menghentikan sekatan Zionis. Satu ribu batu bermula dengan satu langkah, tetapi apakah jaminan bahawa Zionis akan menghormati janji-janji?”

“Jaminannya,” kata Dr. Salah Abdel-Ati kepada MEMO, “bahawa Mesir dan PBB menjamin bahawa rejim Zionis kekal komited dengan janji-janji.”

Seorang ahli jawatankuasa kempen menghentikan sekatan berkata bahawa sekatan Zionis ke atas Gaza adalah satu “jenayah dan satu bentuk hukuman secara kolektif dan lambat laun harus dihentikan sepenuhnya.”

Penduduk Palestin, kata beliau, “tidak akan berkekalan menjadi hamba kepada polisi-polisi Zionis,” menegaskan bahawa mereka akan mencari kaedah-kaedah baharu untuk memastikan penjajah menghormati janji-janji.

“Bantahan GRM membawa isu pelarian Palestin dan hak mereka untuk kembali menjadi agenda utama dunia dan memaksa sebilangan badan-badan penting antarabangsa mengambil keputusan untuk mendokong UNRWA, yang mana kewujudannya menghidupkan isu pelarian.”

GRM akan berterusan seperti dirancang, kata Abdel-Ati, secara aman bagi cuba mencapai “kejayaan lebih besar” dan memberitahu rejim penjajah dan pihak perunding bahawa “kami tidak akan putus asa atau berundur ke belakang.”


Terjemahan dari tulisan Motasem A Dalloul.

(MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts

No Content Available