Bangkitkan Intifadah!

Tindakan rejim zionis Israel menyenaraikan Masjid Ibrahim (al Haram al Ibrahimi) dan Masjid Bilal bin Rabah sebagai wilayah warisan Yahudi telah membangkitkan satu provokasi yang besar kepada rakyat Palestin dan umat Islam seluruhnya. Tindakan Israel yang sekaligus meluaskan jajahan bumi Palestin yang mereka takluk menyebabkan penduduk Tebing Barat mengadakan bantahan dan seterusnya mencetus pertempuran antara penduduk dan pihak berkuasa Yahudi itu, termasuk beberapa insiden di al Khalil.

Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyah, menyeru kebangkitan Intifadah Ketiga di Tebing Barat bagi melawan tindakan Israel yang lansung tidak menghiraukan undang-undang dan kemanusiaan ini. “Tindakan mereka (zionis) memerlukan kepada respon bersungguh-sungguh di Tebing Barat dan kita harus bangkit melawan mereka,” seru beliau Selasa lalu, 23 Februari. “Mereka ingin memadamkan identiti kita, merubah mercutanda Islam dan mencuri sejarah kita,” kata beliau lagi.

Sheikh Salah Al Bardawil, salah seorang pemimpin pembebasan Palestin, menekankan bahawa tindakan keji zionis ini merupakan satu permulaan yang sangat berbahaya dalam rangka mereka hendak meyahudikan masjid dan daerah berkenaan.

Masjid Ibrahimi yang juga dikenali sebagai “Cave of the Patriarch,” terbahagi kepada dua bahagian melalui pintu masuk berasingan, satu untuk umat Islam dan satu lagi untuk Yahudi. Untuk memasuki masjid ini, setiap rakyat Palestin mesti melalui pemeriksaan rapi di bebarapa sekatan-sekatan tentera israel, dan juga tertakluk kepada tapisan dan pemeriksaan lanjut oleh tentera Israel berdekatan pintu masuk, yang terletak hanya 15 kaki dari sekatan sebelumnya.

Manakala Masjid Bilal yang juga dikenali sebagai “Rachel’s Tomb,” terletak di pinggir bandar Bethelem (Bait Lahm) sebelum terbinanya temboh pemisah. Sekarang, masjid ini hanya dapat dimasuki oleh rakyat Palestin yang tingal di Tebing Barat. Bagaimanapun, mereka mesti melalui pemeriksaan tentera di seberang tembok terlebih dahulu, itupun sekiranya mereka telah mendapat kebenaran daripada kerajaan Yahudi Israel laknatullah. Sesiapa yang ingin ke masjid ini diwajibkan menaiki teksi atau bas dari sekatan pemeriksaan polis, di mana memasuki kawasan tersebut secara berjalan kaki adalah dilarang sama-sekali.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts