Benarkah Al-Aqsa Dalam Bahaya?

BANDAR BARU BANGI, 19 Sep 2015 — Sheikh Raed Salah dalam kenyataannya dua hari lalu menyebut bahawa apa yang sedang berlaku ke atas Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis adalah permulaan kepada fasa terakhir cita-cita sebenar Zionis ke atas bumi umat Islam itu. Bahkan beliau memberi amaran bahawa kejahatan rejim Zionis bukan hanya terhad ke atas bumi dan penduduk Palestin, tetapi juga akan memberi kesan ke atas seluruh dunia.

Masjid Al-Aqsa, sejak dijajah oleh tentera Zionis pada tahun 1967, telah melalui fasa-fasa yang dirancang secara tersusun dengan pelbagai peristiwa genting dan juga tipu helah perjanjian. Dari kerja-kerja penggalian terowongan bawah tanah, hinggalah kepada merubah identiti Islam dan seterusnya menghalang umat Islam bersolat di masjid tempat berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW itu, para pelampau Yahudi kini menantikan tibanya saat Al-Quds menjadi ibukota mereka yang lengkap berdirinya sebuah kuil Yahudi di atas runtuhan masjid itu.

Sejak tahun 1967 juga, rejim Zionis dan pemerintah Jordan yang bertanggung jawab mengurus Masjid Al-Aqsa melalui Jabatan Wakaf, telah “bersepakat” untuk menetapkan bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk melakukan ritual agama mereka di kawasan masjid itu, manakala kaum Yahudi bebas masuk dan melakukan ritual mereka di kawasan Tembok Ratapan. Bukan sekadar itu, ketua-ketua rabbi Yahudi juga memutuskan bahawa kaum Yahudi tidak dibenar menjejakkan kaki di perkarangan Masjid Al-Aqsa kerana perbuatan itu dianggap menodai kesucian tapak kuil suci mereka.

Itulah “status quo” yang menjadi jaminan pemimpin Zionis, Benjamin Netanyahu, sehingga ke saat ini.

Pada bulan 27 Februari 2014, Moshe Feiglin dari parti Likud yang memerintah menyebut dalam sesi perdebatan di parlimen Zionis, “Tanpa Temple Mount [panggilan mereka ke atas Al-Aqsa] kita tidak mempunyai tanah air. Tidak di Tel Aviv, tidak di Haifa, tidak di mana-mana tempat lain. Tidak ada guna dan tidak ada status kedaulatan kita di atas seluruh bumi [Palestin] ini. Kini sudah tiba masanya untuk menghentikan hakisan terhadap kedaulatan kita di jantung Jerusalem [Al-Quds].”

Apakah dakwaan ancaman ke atas bumi anbiyak ini suatu provokasi atau retorik agama, atau satu realiti yang mencemaskan?

‘Status quo’ telahpun berubah

Pada tahun 2014, hampir 11,000 orang Yahudi telah menceroboh masuk ke perkarangan Masjid Al-Aqsa. Statistik ini menunjukkan peningkatan sebanyak 28% berbanding tahun sebelumnya dan hampir dua kali ganda bilangan pencerobohan yang berlaku sepanjang tahun 2009.

Manakala pada tahun 2012, pelampau Yahudi memasuki masjid suci itu pada kadar purata sekali setiap dua minggu. Pada tahun 2013 ia meningkat lagi menjadi sekali setiap empat hari, dan dalam tahun 2014 ia menjadi sekali dalam setiap dua atau tiga hari.

Bahkan PBB sendiri membuat penilaian bahawa pertempuran yang berlaku di Masjid Al-Aqsa adalah berpunca dari tindakan pihak berkuasa Zionis menghalang semua wanita dan lelaki Palestin di bawah 50 tahun dari memasuki kawasan masjid sejak tiga minggu lalu. Mereka dihalang memasuki masjid di waktu pagi bagi memberi laluan kepada pendatang dan kumpulan pelampau Yahudi yang lain menceroboh masuk.

Dalam tempoh tersebut juga, rejim telah mengharamkan dua pertubuhan Islam, yang digerakkan oleh kebanyakannya wanita dan warga tua, yang memprotes tindakan pelampau Yahudi menceroboh masuk secara provokasi di dalam perkarangan masjid dengan cara bertepuk tangan, menari dan juga melakukan ritual agama mereka.

Knesset kini dipimpin oleh kumpulan pelampau

Hampir setahun lalu pada 30 Oktober 2014, buat pertama kali sejak 1967 rejim Zionis telah menutup perkarangan Masjid Al-Aqsa kepada semua orang Islam sehari penuh. Tidak lama selepas itu apabila ketegangan memuncak, media Zionis Ha’aretz menunding jari kepada “ahli-ahli politik berhaluan kanan yang mencabar status quo yang sudah diterima sejak berdekad.”

Petikan Ha’aretz menyebut, “Sehingga beberapa tahun lalu, apa-apa perbincangan tentang perubahan di Temple Mount [gelaran Yahudi ke atas perkarangan Masjid Al-Aqsa] merupakan satu petanda api ketaksuban agama, suatu yang pelik dan gila. Kini tidak lagi. Sekarang perkara ini merupakan suatu yang diterima secara meluas, menunjukkan perubahan kepada politik berhaluan kanan dan hakisan kepada penentangan terhadap retorik kenabian yang dipegang oleh mereka.”

Apakan tidak, ahli parlimen Zionis sendiri, Miri Regev, sepanjang tahun 2013 telah mempengerusikan 15 sesi perbincangan tentang isu berkaitan kempen membenarkan Yahudi untuk melakukan ritual agama mereka di Masjid Al-Aqsa. Regev yang mewakili parti Likud kini diangkat menjadi Menteri Kebudayaan.

Puak Yahudi berhaluan kanan di dalam parlimen Zionis menuntut pelbagai perkara, dari hal memberi kebenaran secara rasmi bagi Yahudi melakukan ritual di kawasan masjid, sehinggalah tindakan meruntuhkan masjid suci umat Islam itu. Pertubuhan-pertubuhan yang menyokong tuntutan besar itu, iaitu merobohkan al-Aqsa, menerima pembiayaan dan sokongan daripada kementerian dan juga pihak perbandaran rejim Zionis di Al-Quds.

Pada tahun 2013 juga, Uri Ariel yang menjadi Menteri Perumahan ketika itu dan kini menjadi Menteri Pertanian, menyeru supaya Kuil Ketiga Yahudi dibina di atas perkarangan Masjid Al-Aqsa, suatu kempen yang tetap beliau ulang-ulangkan sehingga hari ini.

Menteri Ekonomi, Naftali Bennett, juga mencadangkan supaya rejim Zionis mengambil kawalan yang lebih besar ke atas Masjid Al-Aqsa. Manakala pada bulan Mei 2014, ahli-ahli parlimen dari parti Likud dan Buruh telah mencadangkan supaya status quo ke atas masjid itu dibuah bagi membenarkan kaum Yahudi melakukan ritual agama mereka di Masjid Al-Aqsa.

Jelas sekali parlimen Zionis, atau Knesset, hari ini dikuasai oleh para pelampau Yahudi yang sejak awal menganuti sepenuhnya agenda besar Yahudi ke atas Masjid Al-Aqsa dan Al-Quds.

Kejayaan mereka di Al-Khalil

Pada tahun 1994, seorang pelampau Yahudi menembak mati 29 ahli jemaah yang sedang bersolat Subuh di Masjid Ibrahimi.

Sebagai resolusi ke atas kejadian tersebut, tentera rejim dengan peliknya memutuskan dan memaksa supaya masjid bersejarah itu dibahagikan di antara orang Islam dan Yahudi, dengan kaum Yahudi menguasai kawasan yang lebih luas.

Kejadian ini dibimbangi menjadi model ikutan yang sangat ideal bagi tentera Zionis suatu hari dalam masa terdekat untuk mengulangi skrip tersebut ke atas Masjid Al-Aqsa di Al-Quds.

Netanyahu? Pemimpin lidah bercabang, pembohong tegar

Benjamin Netanyahu sering mengulangi dakwaan beliau bahawa rejim mereka tidak pernah berniat untuk mengubah status qou Masjid Al-Aqsa.

Kenapa kita harus percaya kepada apa yang beliau janjikan?

Dari lidahnya yang bercabang tentang pembentukan negara Palestin berdaulat, sehinggalah keegoan beliau dalam memperlekeh Perjanjian Oslo, kita sudah seharusnya mempunyai alasan yang kukuh untuk bersikap skeptikal terhadap jaminan-jaminan yang diberikan oleh pemimpin parti Likud ini.

Cita-cita sebenar mereka ke atas Al-Quds Timur

Apa yang berlaku di Masjid Al-Aqsa beberapa minggu ini bukan hanya berkisar kepada permasalahan di masjid itu. Penjajahan Zionis ke atas Al-Quds Timur kini berusia 48 tahun, di mana dalam tempoh tersebut penduduk Palestin menderita melalui rampasan tanah serta harta warisan mereka, penjajahan, diskriminasi dan penindasan.

Bulan lalu, rejim Zionis menahan 150 orang penduduk Palestin di wilayah Al-Quds Timur yang terjajah. Satu pertiga daripada kes penangkapan itu berlaku di kawasan berdekatan Masjid AL-Aqsa, manakala puluhan lagi di kejiranan Palestin di Silwan, Issawiya, Wadi Joz, Sur Baher dan Sheikh Jarrah. Zionis juga mengharamkan 27 orang Palestin daripada mendekati kawasan masjid. Ada yang dihukum sehingga tempoh selama 60 hari.

Pada akhir bulan Ogos, sekurang-kurangnya 20 pendatang Yahudi menceroboh masuk dan mengambil alih sebuah apartmen 12 tingkat di Silwan, satu langkah yang telah dapat menggandakan bilangan penduduk Yahudi di kejiranan tersebut. Keberadaan mereka di situ, dengan dibantu oleh tentera Zionis, akan memudahkan lagi usaha mereka untuk menyerang penduduk tempatan berbangsa Palestin.

Pertempuran di antara penduduk Palestin dan tentera Zionis merupakan suatu yang sangat biasa di Al-Quds serta Tebing Barat. Apakah respon pihak berkuasa Zionis terhadap perkembangan ini? Mereka diberi lampu hijau untuk menembak peluru hidup ke atas penduduk Palestin – satu polisi yang bahkan pihak polis Zionis sendiri menganggapnya sebagai satu “hukuman secara kolektif.”

Pelampau Yahudi kini sudah tidak sabar lagi menantikan detik besar mereka. Apakah masyarakat dunia masih lagi menunggu-nunggu langkah seterusnya?

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts