Bersatu, gerakkan usaha membantu Palestin

bangi-1Hari ini BBC melaporkan jumlah kematian dalam serangan Israel ke atas Gaza sudah melepasi 700 orang. Sebahagian besar mangsa adalah kanak-kanak dan wanita, bukannya pejuang-pejuang Hamas. Media massa seluruh dunia menunjukkan bangunan dibedil oleh kereta kebal dengan peluru yang beratnya berpuluh-puluh tan, mayat kanak-kanak bergelimpangan dan orang ramai menyembahyangkan jenazah dalam satu barisan yang panjang. Bagi kanak-kanak, jika mereka tidak mati, sudah tentu kehilangan tangan dan kaki akibat terkena serpihan bom dan peluru.

Mahu ataupun tidak, kita mesti memahami bahawa serangan Israel adalah pembunuhan ke atas-orang-orang Islam Palestin.

Ketika penduduk Gaza dihujani peluru dan penggeledahan berterusan, masyarakat dunia masih ingin bermesyuarat, menetapkan masa untuk bersidang. Hal yang sebaliknya berlaku di Iraq, Aghanistan dan Bosnia-Herzegovina. Belum apa-apa lagi mereka menyerang negara-negara ini dan membiarkan perbersihan etnik berleluasa di Balkan.

Pada zaman yang digelar moden dan bertamadun ini, dihidangkan di depan mata kita pembunuhan demi pembunuhan yang berat sebelah. Pergerakan Hamas tidak mempunyai sebarang senjata canggih tetapi berhadapan dengan segerombolan askar Yahudi yang dilengkapi pesawat pejuang paling canggih dan bertan-tan peluru untuk memusnahkan sekolah, rumah dan masjid.

Keadaan di Gaza, Palestin adalah gambaran yang jelas berlaku ke atas sekelompok umat yang mengaku Allah SWT adalah Tuhan mereka dan Muhammad SAW adalah rasul-Nya.

Sebagai umat Islam, saudara kita di Palestin sedang menderita. Marilah kita bersama-sama berfikir dan merenung kembali apakah sebenarnya tugas dan tanggungjawab kita kepada mereka.

Saya ingin mengingatkan kembali perkara asas yang perlu dilaksanakan oleh kita semua. Keberadaan kita di atas muka bumi ini tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud, ‘Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.’

Ulama-ulama Islam juga menjelaskan kepada kita bahawa selain daripada ibadah khusus seperti solat, puasa, haji, zikir, membaca al-quran dan sebagainya, terdapat dua perkara besar yang mesti dilaksanakan dalam rangka menunaikan perhambaan atau ‘ubbudiyah ini iaitu amal ma’ruf nahi mungkar dan jihad fi sabilillah.

Profesor Dr Yusuf al Qardawi dalam buku ‘Ibadah Dalam Islam’ menyatakan bahawa jika tidak melaksanakan dua perkara ini, bermakna umat Islam belum lagi menunaikan ‘ubbudiyah kepada Allah SWT.

Inilah implkasi yang paling besar dalam hidup kita sebagai seorang Islam. Maknanya, dalam realiti hidup sekarang, selain melaksanakan hukum dan undang-undang Islam, usaha juga mesti merangkumi dakwah dan tarbiyah.

Kedua, jihad fi sabilillah terbahagi kepada empat iaitu jihad untuk mencari hidayah Allah, jihad untuk melaksanakan hidayah Allah, jihad untuk menjalankan hidayah Allah dan jihad untuk bersabar di atas jalan Allah.

Justeru, dalam amal ma’ruf nahi mungkar dan jihad fi sabilillah ini ada satu faktor umum yang dikenali sebagai dakwah.

‘Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh – ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.’ (Muhammad:12)

bangi-2Apakah kita mahu hidup seperti mereka yang dinyatakan di dalam al-quran ini? Sudah tentu tidak. Apabila berbicara soal makan, ada tiga golongan yang dapat kita perhatikan. Golongan pertama adalah mereka yang bangun pagi, bertanya di dalam fikiran mereka ‘Hari ni aku nak makan apa?’ Golongan kedua bula bertanya ‘Di mana aku hendak makan?’ Manakala golongan ketiga bertanya ‘Hari ini aku nak makan siapa?’

Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 8 yang bermaksud, ‘Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.’ Penilaian Allah SWT adalah jelas. Hidup bukan sekadar hendak memenuhi keinginan nafsu sahaja seperti mana yang dikejar oleh manusia hari ini iaitu sebahagian besar masa hidup dihabiskan untuk mengejar tiga TA iaitu wanita, harta dan takhta.

Namun, dicelah-celah manusia yang hidup hanya untuk dunia, terdapat sekelompok manusia yang sentiasa mencari dan mengintai keredhaan Allah SWT setiap masa.

‘Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.’ (Al-Baqarah:207)

Inilah kelompok yang sedang berjuang menegakkan Islam dan mempertahankan akidah Islam di Palestin. Mereka mempertahankan Islam dengan menyerahkan seluruh jiwa dan tenaga, darah dan nyawa semata-mata hendak mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Palestin mempunyai erti yang besar kepada umat Islam. Di situlah kiblat pertama sebelum ditukar ke Mekah. Di situ juga berdirinya Masjid Aqsa yang menjadi tempat singgah Rasululah SAW sebelum dimi’rajkan. Palestin signifikan dari segi akidah yang menentukan kedudukan umat Islam. Kefahaman ini mesti berada kukuh di dalam jiwa setiap umat Islam supaya setiap isu Palestin menjadi isu kita bersama.

Jadi, apa yang kita patut lakukan sekarang?

Salah satu daripada usaha ini ialah memboikot barang-barang yang ada kaitan dengan Yahudi dan Israel. Jika kita membeli produk-produk ini, kita sebenarnya telah memberi wang kepada Yahudi untuk membunuh masyarakat Islam Palestin.

Di samping itu, kita mesti terus-menerus berdoa, menunaikan solat hajat dan memohon kepada Allah SWT agar mempertahankan bumi anbia’ Palestin.

Kita mesti kembali kepada kerja-kerja dakwah dan tarbiyah, mengambil pendekatan yang telah dipelopori oleh Rasulullah SAW supaya masyarakat dapat menerima Islam dengan kefahaman yang betul. As-syahid Syed Qutb berkata hanya satu isu yang dibawa oleh Adam a.s hingga Muhammad SAW iaitu permasalahan akidah. Nampaknya, di sinilah perkara yang mesti diberikan keutamaan, ditebarkan dalam seluruh aspek kehidupan kita sama ada dalam bidang ekonomi, politik ataupun sosial.

Marilah kita bersama-sama mencari titik persamaan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini supaya Islam tidak akan dipermainkan seperti mana yang kita lihat di Palestin pada hari ini. Kita tidak mahu lagi melihat umat Islam berpecah-belah dan tidak ada kesatuan.

 

Dr Abddullah Sudin Ab Rahman
Presiden Haluan Malaysia
Bangi, Selangor
7 Januari 2009

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts