Bertemu semula muazzin Mavi Marmara

LATAKIA, Syria, 9 Oktober — Tidak disangka pantai Latakia menjadi tempat pertemuan semula sekitar 70 orang “alumni” kapal kemanusiaan Mavi Marmara yang telah diserang komando tentera laut Zionis pada 31 Mei lalu. Mereka tidak sekali-kali serik dengan peristiwa serangan itu, dan kini bersama-sama menyertai konvoi darat Viva Palestina 5 menuju ke Gaza, demi membantu penduduk Gaza yang hampir 5 tahun hidup di bawah sekatan zalim Zionis Israel.

Sahabat Al-Aqsha, sebuah NGO Indonesia, turut bersama-sama dalam pertemuan di Latakia ini. Di antara mereka yang ditemui Sahabat Al-Aqsha adalah pemilik suara merdu dan syahdu, yang gagah berani mengumandangkan azan di atas kapal Mavi Marmara ketika lebih 600 orang relawan sedang diikat, dijemur di bawah terik matahari, serta ditahan dengan senjata otomatik oleh komando-komando Zionis. Di tengah keheningan Lautan Mediterranean dan suasana mencekam itu, suara azan lelaki ini menembus langit, melaungkan nama Allah dan mengagungkanNya.

Muazzin itu bernama Mustafa Nasywan, 41 tahun, seorang imam di Masjid Lifta di daerah Nazzal di ibukota Amman, Jordan.

Mustafa menceritakan semula detik-detik cukup tegang itu. Ketika itu, Mavi Marmara, yang merupakan kapal terbesar dalam armada Freedom Flotilla, sudah sekitar 6 jam dikuasai tentera laut Zionis.

“Saya sebenarnya agak sedih kerana tidak melihat ayah saya,” kata Mustafa yang ketika itu kedua-dua tangannya diikat ke belakang. “Lalu seseorang memberitahu saya, ayah saya ada beberapa meter di belakang saya. Saya menjadi bertambah semangat.” Waktu itu setiap orang yang bergerak sedikit saja, terus dibentak dan diacukan senjata oleh tentera komando laut Zionis yang bertopeng hitam.

Ayah Mustafa, Ismail Nasywan yang berusia 82, tahun merupakan relawan tertua di misi kemanusiaan itu.

Kerana waktu Zuhur telah tiba, Mustafa nekad. “Kalau saya ditembak kerana azan ini, insya Allah saya akan mati syahid,” kenang Mustafa yang waktu itu ditahan di ruang belakang dek 4 yang biasanya digunakan sebagai masjid oleh para relawan. Di tempat itulah Mustafa juga biasa mengumandangkan azan selama berhari-hari belayar dengan Mavi Marmara.

Beberapa relawan dari berbagai negara mengaku kepada Sahabat Al-Aqhsa bahawa azan yang dikumandangkan oleh lelaki ini merupakan azan terindah yang pernah mereka dengar. Mungkin mereka terhanyut juga oleh suasana mencekam waktu itu. Termasuk doktor Arief Rachman dari MER-C Indonesia.

Alhamdulillah, Mustafa tidak ditembak tentera Israel. Beberapa minit seusai azan, ratusan relawan lelaki dan perempuan dalam keadaan diikat dan sudah dijemur selama 6 jam, dipaksa turun ke kabin penumpang. Kapal dibawa secara paksa ke Pelabuhan Ashdod yang dikuasai Israel. Mereka diinterogasi lalu dipenjara di Beersheva.

Setiap relawan Mavi Marmara, insya Allah tidak akan lupa mendengar suara merdu dan syahdu azan Mustafa Nasywan. Kerana itu, Sahabat Al-Aqsha meminta Mustafa untuk mengumandangkannya sekali lagi, dirakam khusus, dan dipersembahkan untuk pembaca Sahabat Al-Aqsha

Semoga azan ini kelak akan kita dengar menyeru kita solat berjamaah di Masjidil Aqsha dalam keadaan merdeka. Amin.

[mn/Sahabat Al-Aqsha dengan beberapa pengolahan semula]

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts