Biografi Salahuddin Al-Ayyubi (Siri 1)

Artikel ini merupakan terbitan pertama daripada tiga siri tentang biografi pembebas Masjid al-Aqsa, Salahuddin Al-Ayyubi, yang dipetik dari tulisan ulamak kajian sejarah Abul Hassan Ali Nadvi di dalam bukunya ‘Saviors of Islamic Spirit.’

——

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurdi biasa yang lain. Pendidikannya juga seperti orang lain, di mana beliau belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Sebelum dia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib, tidak seorangpun menyangka bahawa anak Kurdi ini suatu hari nanti akan merampas dan membebaskan kembali Palestin serta menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya begitu hebat, sehingga menjadi contoh dan perangsang dalam memerangi kekufuran hingga ke hari ini.

Stanley Lane Poole, seorang penulis Barat, menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan satupun tanda-tanda dia akan menjadi seorang hebat pada masa depan. Akan tetapi dia telah menunjukkan akhlak yang mulia.

Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkan beliau untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk menjadi pemimpin agung itu. Ketika dia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di bawah khalifah Islam. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat untuk pergi dan memaksa diri untuk berangkat ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke sebuah tempat pembunuhan.

Perubahan Dalam Hidup Salahuddin al Ayubi

Ketika Salahuddin menguasai Mesir, dia tiba-tiba berubah. Dia yakin bahawa Allah telah mempertanggung jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tidak mungkin dapat dilaksanakan jika beliau tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menulis bahawa sebaik sahaja menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenangan Salahuddin telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah beliaa telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya.

Bahkan Stanley Lane Poole telah menuliskan bahawa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih tegas. Dia bertambah wara’ dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Beliau juga mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup “Spartan” yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.

Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku.” Ini menyebabkan dia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad, seterusnya memenangkan perjuangan Islam.
Semangat Jihad

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.

Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini dia lebih kerap berada di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama keluarga. Sesiapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Apabila telah memulakan jihad melawan tentera salib, dia akan menumpukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan membangkitkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Dia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad kerana Allah semata-mata. Dia juga akan pergi ke seluruh pelusuk tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika mengepung Acre, dia hanya minum air tanpa makan, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerana dia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu.

——–

Dalam Siri Kedua kita akan melihat bagaimana Peperangan Hittin telah membangkitkan semangat Salahuddin untuk membela Islam sehingga beliau terus berjuang sampai berjaya membebaskan Baitulmaqdis.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts