B’Tselem: Razan al-Najjar dibunuh secara sengaja

GAZA, 17 Julai 2018 — Hasil siasatan pertubuhan hak asasi B’Tselem memutuskan bahawa tentera Zionis secara sengaja menembak paramedik Razan al-Najjar untuk membunuh beliau pada 1 Jun lalu.

Ketika kejadian, tentera Zionis secara sengaja menembak sekumpulan paramedik berpakaian seragam perubatan yang sedang berada pada jarak 25 meter dari pagar sempadan, sehingga membunuh Razan mencederakan dua rakannya.

Laporan B’Tselem menyebut, “Sekitar jam 6:00 petang, sekumpulan paramedik mendekati kawasan pagar untuk membantu dua pemuda yang cedera sesak nafas. Mereka memakai seragam perubatan yang jelas, dan bergerak dengan mengangkat tangan ke udara.”

Manakala kenyataan Rami Abu Jazar, rakan relawan paramedik bersama Razan, menceritakan, “Kami berada pada jarak kira-kira 10 meter dari mereka [mangsa yang sesak nafas], sekitar 25 meter dari pagar. Tidak ada peserta demonstrasi berdekatan kami. Sekitar 15 minit sebelum pukul 6:00, kami lihat dua orang askar keluar dari jip mereka, melutut dan menyasar senjata mereka ke arah kami, dengan menggunakan kaki sniper.”

Mereka melepaskan dua tembakan peluru hidup, mengena Razan di bahagian dadanya, dan Rami di bahagian kakinya. Sementara seorang lagi rakan mereka terkena serpihan tembakan. Razan meninggal dunia di hospital tidak lama selepas itu.

Kenyataan tentera Zionis bagaimanapun tidak konsisten dan sering bertukar, menyebut bahawa mereka tidak menembak kawasan di mana Razan berada ketika itu. Mereka kemudian mendakwa Razan “mungkin terbunuh oleh pantulan peluru, sebelum akhirnya mendakwa Razan menjadikan dirinya sebagai perisai kepada para perusuh [peserta demonstrasi aman].

Statistik World Health Organization menunjukkan bahawa sehingga 10 Julai 2018, seramai 357 pekerja perubatan telah cedera. Seramai 26 orang daripadanya ditembak dengan peluru hidup, 37 terkena tembakan balang gas pemedih mata, dan 12 yang lain terkena serpihan tembakan. Di samping itu, sebanyak 58 buah ambulan rosak.

(MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts