LONDON, 1 Apr 2019 — Tweet yang dimuat naik oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di laman Twitter berkaitan Bukit Golan tidak seperti tweet biasa yang beliau muat naik secara santai setiap pagi. Beliau telah menggariskan apa yang akan dilakukannya, tetapi orang-orang Arab begitu lena. Mereka tidak tahu atau peduli niat Trump, yang mana kurang dari seminggu selepas itu berubah menjadi satu perintah (dekri) presiden yang mengiktiraf kedaulatan rejim Zionis ke atas wilayah Syria serta menganggapnya sebagai sebahagian daripada wilayah pemerintahan Zionis.

Keputusan Donald Trump ini bukan sahaja mengekalkan status quo serta menghalalkan pendudukan haram rejim Zionis, tetapi juga sama seperti mengisytiharkan perang ke atas norma antarabangsa, yang di wakili Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa. Sebagai tamparan, Trump telah mengenakan undang-undang rimba terhadap negara-negara Timur Tengah dan rakyatnya.

Ia adalah keputusan yang tidak sah dan terbatal oleh mana-mana piawaian, kerana ia melanggar Piagam PBB yang menyatakan “Hubungan antarabangsa semua Anggota hendaklah menahan diri daripada ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negeri, atau apa-apa cara lain yang tidak selaras dengan Tujuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.”

Keputusan Amerika Syarikat ini juga melanggar beberapa resolusi PBB, terutama sekali Resolusi 242, yang menetapkan “penarikan pasukan bersenjata Israel dari wilayah yang diduduki dalam konflik baru-baru ini”, merujuk kepada wilayah yang diduduki pada tahun 1967, termasuk Bukit Golan di Syria. Ia juga melanggar Resolusi 497 tahun 1981, di mana PBB memutuskan bahawa, “keputusan Israel untuk mengguna pakai undang-undang, bidang kuasa dan pentadbirannya di Bukit Golan yang terjajah adalah terbatal dan tidak sah dan tidak membawa kesan undang-undang antarabangsa.”

Negara-negara di dunia merdeka hari ini ebrhadapan dengan masalah yang penting dan kritikal. Adakah mereka akan menerima dasar ‘pembuli’ Trump dan bersetuju dengan undang-undang rimba yang dikenakan keatas kita semua? Berbuat demikian akan hanya mengheret dunia ke Zaman Kelam, dengan negara-negara dijajah dan rakyatnya ditindas, atau lebih buruk, dengan kekerasan.

Ia berlaku kurang dari setahun selepas Presiden Trump mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke kota suci itu. Sebelum mengambil langkah itu, Trump telah menyiarkan tweet serupa yang membayangkan maksudnya. Presiden Amerika Syarikat tidak gila, seperti yang diyakini sebahagian orang. Dia mungkin tidak cerdik, tetapi dia tidak bodoh. Dia sedar apa yang dilakukan dan diucapkan, dan berfikir cara seorang ahli perniagaan. Dia membuat keputusan dengan pertimbangan untung dan rugi, persetujuan dan penawaran. Kita melihat ini dengan jelas dalam hubungannya dengan Arab Saudi dan bagaimana dia dapat “menyedut” berjuta-juta dollar.

Kata-kata seseorang dengan personaliti seperti Trump perlu diberi perhatian dan tidak dipandang remeh. Walau bagaimanapun, dia tahu bahawa tidak akan ada reaksi popular atau rasmi dari bangsa Arab. Jadi Trump melaksanakan keputusannya dengan penuh keyakinan, mengabaikan semua piagam antarabangsa dan hak-hak bangsa Arab dan pimpinan mereka, yang dihina dengan jelas oleh Trump. Dia tidak mungkin dapat memulakan langkahnya hinggalah dia melihat reaksi dunia Arab yang ragu-ragu dan para pemimpin yang diam seribu bahasa dalam mengahadapi pengiktirafan Jerusalem. Ini mendorongnya untuk melupuskan lebih banyak lagi tanah Arab.

Hasratnya untuk mengiktiraf kedaulatan Israel di Bukit Golan menjadi jelas sebaik sahaja dia menyiarkan tweet itu. Walaupun demikian, Liga Arab tidak mengambil sebarang tindakan, kerana ia sibuk mengharamkan Ikhwanul Muslimin dan Hamas sebagai organisasi “pengganas”. Sebaliknya, Liga hanya mengeluarkan kecaman yang lemah dan mengecewakan apabila ada situasi yang amat jelas terpanggil untuk membayangkan perlunya mengamalkan dasar dan langkah baru yang mencabar kepentingan Amerika Syarikat di rantau ini. Ini tidak berlaku, kerana dasar kebergantungan yang diterima pakai oleh kerjaan Arab.

Malah, Kerajaan Syria yang terlibat secara langsung dengan perkara itu tidak mengambil sebarang tindakan untuk membuktikan atau memperkukuhkan kedaulatannya di Bukit Golan. Bahkan mereka tidak bertegas tetang hak untuk bertindak balas tepat pada masanya, suatu yang mereka buat apabila tentera udara Israel mengebom Damaskus.

Semua kerajaan Arab tetap diam seribu bahasa, yang tinggal hanyalah Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sebagai satu-satunya pihak yang membantah tindakan Trump. “Di bawah resolusi PBB, Israel tidak boleh menuntut walaupun sebahagian kecil daripada Bukit Golan,” jelas Erdogan. “Kenyataan Presiden Amerika Donald Trump berkenaan kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan telah mengheret wilayah itu ke kancah krisis baharu. Kami tidak akan membenarkan, dan tidak boleh membiarkan, legitimasi penjajahan Bukit.”

Sikap sikap acuh tak acuh setiap pihak ini membuat saya tertanya-tanya apakah ada terjadinya sesuatu di belakang tabir pentadbiran Zionis di Washington. Ini terutama sekali menyusul seelpas kenyataan janggal Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo minggu lalu bahawa kebarangkalian besar Presiden Donald Trump dihantar oleh Tuhan untuk menyelamatkan Israel daripada Iran.

Oleh itu, kita sepatutnya menjangkakan lebih banyak kejutan-kejutan yang menggegarkan dari “duta Tuhan” ini, kerana ia memberi tanahair kepada sesiapa yang dikehendaki dan mengambil dari sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Ingat, Trump baharu saja mengumumkan “perjanjian abad ini”. Saya yakin bahawa Bukit Golan akan menjadi sebahagian daripada perjanjian itu, yang akan menetapkan bahawa wilayah itu harus diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada tanah Israel. Siapa tahu wilayah Arab yang lain juga Trump akan ambil dan beri kepada Israel sebagai hadiah? Ia boleh jadi dari wilayah yang Israel terpaksa tarik diri demi memenuhi syarat perjanjian damai. Tidak ada pihak yang akan menghentikan Zionis di Israel dan Washington daripada mencantumkan Tebing Barat atau Sinai Selatan di bawah undang-undang rimba yang dikenakan oleh Trump dan didiarkan dengan penuh kebisuan oleh orang Arab.

Walau bagaimanapun, nampaknya Trump tidak tahu bahawa orang Arab tetap menetap di tanahair mereka dan bahawa selama bertahun-tahun konflik dan perjuangan, tiada kuasa kolonial telah dapat mengambil negara dari rakyatnya dan memberikannya kepada orang lain. Israel, yang ditubuhkan di atas tanah yang dicuri dari Palestin, tidak akan bertahan lama; ia akan menjadi seperti semua kuasa penjajah yang pernah cuba mencuri tanahair kita. Mereka semua pergi ke neraka dan negara kita kekal milik kita.

Perlu diingatkan bahawa sejak berakhirnya perang Oktober 1973, tidak ada satu butir peluru pun yang pernah ditembak oleh apa yang kononya dipanggil Tentera Arab Syria ke arah tentera penjajah Israel yang ditempatkan di Bukit Golan yang terjajah. Bendera Israel yang dikibarkan pada puncak tertinggi wilayah itu tidak sedikitpun dilihat sebagai satu provokasi oleh rejim Syria. Sebaliknya, satu-satunya arah tembakan mereka adaah ditujukan kepada rakyat Syria, seolah-olah tentera mereka bertindak sebagai penjaga sempadan Israel. Rejim itu tidak segan untuk mendakwa bahawa ia adalah sebahagian daripada paksi penentangan dan melaungkan slogan melawan Israel.

Banyak yang telah dikatakan mengenai skandal kejatuhan Bukit Golan dalam perang 1967 dan bahawa tanah itu diserahkan kepada Israel dengan mudah. Ini telah disebut oleh ramai askar-askar yang bertempur dalam peperangan tersebut, dan dalam testimoni pegawai-pegawai yang rapat dengan Hafez Al-Assad, Menteri Pertahanan pada masa itu, yang muncul dalam dokumentari seperti yang diterbitkan oleh Al Jazeera. Mereka semua bersetuju bahawa bapa Presiden Syria yang berkuasa sekarang mengumumkan kejatuhan Quneitra 17 jam sebelum tentera Israel memasuki kota itu, dan pegawai-pegawai Syria berundur dari kedudukan mereka, meninggalkan tentera mereka tanpa komander. Arahan kemudian dikeluarkan untuk berundur dan meninggalkan tanah terbuka kepada musuh. Ini semua didokumenkan dengan baik.

Ada yang mendakwa Bukit Golan dijual kepada Israel oleh Hafez Al-Assad. Salah seorang yang tampil membuat dakwaan ini ialah Dr Mahmoud Jame’, seorang rakan mendiang Presiden Mesir, Anwar Sadat, yang mengatakan bahawa Israel menulis cek $US 100 juta kepada Hafez Al-Assad dan saudaranya Rifaat, yang mereka simpan ke dalam akaun-akaun bank Swiss. Jame’ mendakwa nombor cek tersebut terletak pada peti simpan bekas Presiden Gamal Abdel Nasser. Ini menjelaskan mengapa Israel dapat menawan Bukit Golan pada tahun 1981 tanpa satu negara pun yang mengiktiraf langkah ini. Israel mendakwa bahawa Golan adalah sebahagian daripada Bumi Yang Dijanjikan, sebab itulah mereka mewajibkan status kewarganegaraan Israel ke atas penduduk Arab yang menetap di sekitarnya dan menolak rundingan untuk berundur ke sempadan sebelum 1967.

Sama ada Bukit Golan dijual dengan wang atau jaminan jawatan presiden untuk Hafez Al-Assad, atau kedua-duanya, bukanlah suatu isu. Apa pun caranya, pengkhianatan adalah jelas. Hasilnya adalah pendudukan Israel di Bukit Golan dan Hafez Al-Assad menjadi presiden selepas rampasan kuasa tentera terhadap Presiden Nureddin Al-Atassi pada tahun 1971.

Persoalannya sekarang adalah sama ada Presiden Syria sekarang telah mengikuti jejak ayahnya; adakah jenayah pembunuhan Bashar Al-Assad melepaskan Bukit Golan sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk kekal sebagai Presiden Syria? Pendedahan media tentang rundingan rahsia Israel dengan beliau untuk melepaskan Bukit Golan sebagai tukaran untuk kekal berkuasa. Saya percaya bahawa ini adalah satu senario yang sangat mungkin, dan inilah yang menggalakkan Trump untuk membuat pengumuman secara tiba-tiba mengenai pengiktirafan kedaulatan Israel di Bukit Golan.


Tulisan Dr Amira Abo el-Fetouh di Middle East Monitor. Terjemahan Umar Ismail.

SHARE