Cuaca Panas Tingkat Keperitan Penduduk Palestin

gazaGAZA, 3 Ogos 2015 (Maan) — Gelombang panas yang sedang melanda Timur Tengah meningkatkan lagi keperitan penduduk Gaza yang masih berhadapan dengan krisis kemanusiaan akibat tiga siri serangan besar-besaran tentera Zionis sejak enam tahun lalu.

Susulan serangan di Gaza pada musim panas tahun lalu, sebanyak 18,000 buah rumah telah musnah atau rosak sehingga sebilangan besar penduduknya terpaksa menumpang tinggal di bangunan sekolah dan juga karavan sementara. Seramai 300,000 orang menginap di 91 buah sekolah UNRWA, namun agensi PBB itu telah telah menutup semua penempatan tersebut atas alasan kekurangan dana.

Menurut seorang penduduk di kejiranan An-Najjar di Khan Younis, Muhammad al-Najjar, penempatan dalam karavan yang menggunakan kontena besi sangat tidak sesuai untuk digunakan bagi tempoh yang lama. Beliau yang mempunyai seramai 30 ahli keluarga, terpaksa tinggal di dalam sebuah karavan seluas 30 meter persegi, suatu keadaan yang tidak sesuai untuk dihuni apatah lagi di musim sejuk mahupun musim panas.

Cuaca panas di Gaza yang kini mencecah 40 darjah Celsius dan kelembapan udara sehingga 70% menimbulkan keadaan yang sangat mencengkam bagi keluarga mempunyai tempat berteduh ini.

Seramai 100,000 daripada 1.8 juta penduduk masih tidak mempunyai tempat tinggal sejak berakhirnya serangan tentera Zionis setahun lalu.

Sekatan berterusan oleh rejim Zionis dan pemerintah Mesir sejak lebih lapan tahun lalu yang menghalang kemasukan keperluan asas, terutamanya bekalan minyak dan bahan binaan, menyebabkan pembinaan semula Gaza tidak dapat dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertanian Palestin mengumumkan kerugian sebanyak 2.5juta Shekels akibat cuaca panas di Tebing Barat. Sebanyak 43,000 haiwan ternakan telah mati, kebanyakannya di Jenin, Tulkarim, Qalqiliya dan Tubas.

Ahad lalu, suhu di Tebing Barat mencecah 40 darjah Celcius. Kerugian dijangka meningkat dengan cuaca panas yang berterusan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts