Darul Quran subur dengan harapan membantu Palestin

Kuala Kubu Bharu, 18 Julai 2011 — Kunjungan orang ramai ke gerai pameran HALUAN Palestin sempena Majlis Konvokesyen Darul Quran di sini jelas menzahirkan keprihatinan dan kesedaran mereka terhadap permasalahan bumi Palestin. Pameran yang berlangsung selama 3 hari sejak 16hb Julai itu turut dipenuhi dengan sesi ceramah, jualan amal dan juga tayangan video.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM,) YBhg Tuan Haji Othman Mustapha, telah merasmikan majlis konvokesyen yang diadakan buat kali ke–20 ini. Majlis yang diadakan di Dewan Muktamar Darul Quran tersebut telah berlangsung penuh gilang-gemilang, dihadiri oleh ibubapa dan keluarga para graduan. Lebih dari empat ribu orang telah berkunjung ke tapak konvokesyen itu.

YBhg Tuan Haji Othman Mustapha (tengah) menyerahkan sijil penghargaan dan cenderamata kepada ketua pameran HALUAN Palestin, Muhammad Mus'ab Shaari

 

Seramai 289 graduan menerima Diploma Tahfiz al-Quran manakala seramai 97 graduan lagi menerima Sijil Tahfiz al-Quran. Bagi kursus Sijil Tinggi Tarannum al-Quran, seramai 28 graduan telah menerima sijil masing-masing.

Biro HALUAN Palestin turut bekerjasama dengan pihak pengajur majlis konvokesyen ini dengan pengisian ceramah kesedaran Palestin. Ceramah bertajuk “Bersama Banduan Mavi Marmara” telah disampaikan oleh Pengerusi Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhamad Haleem Syed Hasan, yang juga merupakan seorang sukarelawan di atas kapal Mavi Marmara ketika diserang tentera Zionis Israel lebih setahun yang lalu.

Antara pengisian menarik yang lain termasuklah program “Lailatul Quran” dan juga satu lagi ceramah bertajuk “Nakbah Palestin.” Majlis konvokesyen telah diakhiri dengan persembahan Konsert Kesenian Islam oleh kumpulan Rabbani.

Sebanyak RM2,303.30 telah disumbangkan oleh para dermawan sepanjang majlis ini. “Memang benar, Darul Quran ini subur dengan harapan untuk membantu Palestin,” kata Dr Syed Muhamad Haleem dalam ceramah beliau.

HALUAN mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan Darul Quran di atas jemputan bagi menjayakan pameran ini. Semoga warga Darul Quran akan terus istiqomah dengan usaha mereka bersama-sama membantu membebaskan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa daripada kezaliman dan penjajahan Israel.

Antara pengunjung ke gerap pameran Biro HALUAN Palestin
Antara pengunjung ke gerai pameran Biro HALUAN Palestin

———–

Laporan disediakan oleh Ameen Misran.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts