BANDAR BARU BANGI, 2 Dis 2015 (BHP) — Sebanyak 207 keluarga pelarian Palestin dan Syria yang terperangkap di Ghoutah Timur, Damaskus, telah menerima bantuan susu formula untuk bayi dan anak mereka akhir bulan lalu.

Program bantuan susu ini merupakan sebahagian daripada amanah masyarakat Malaysia melalui HALUAN yang disempurnakan dengan kerjasama Al-Sarraa Foundation, iaitu sebuah NGO yang dikendalikan oleh aktivis Rabitah Ulama Palestin bagi pelarian Palestin di Syria sejak sebelum tercetusnya peperangan pada tahun 2011 lagi.

Kerja pembungkusan dan pengagihan susu telah disempurnakan oleh relawan Al-Sarraa Foundation, di mana agihan ditumpukan khusus untuk penduduk di perkampungan Sakba’ dan Masraba’, yang merupakan kawasan paling miskin dan terpinggir di Ghoutah. Setiap pek susu yang diagihkan kepada bayi dan kanak-kanak berumur sehingga tiga tahun itu hanya cukup untuk menampung keperluan mereka sehingga empat hari sahaja.

Penduduk yang masih bertahan di Ghoutah Timur dan kawasan Jobar yang berdekatan telah dikepung sejak lebih dua tahun lalu, menghalang kemasukan makanan, minyak dan ubat-ubatan. Jika terdapat bekalan makanan yang diseludup masuk sekalipun, harganya adalah terlalu mahal. Mesyuarat kerjasama Disaster Management Organization di Douma September lalu telah mengisytiharkan Ghoutah Timur sebagai sebuah kawasan bencana.

Ghoutah Timur juga menyaksikan beberapa siri serangan kejam sebelum ini, terutama sekali serangan senjata kimia sarin pada 21 Ogos 2013 yang mengorbankan sekitar 1,750 nyawa.

Selain daripada bantuan susu dan makanan, HALUAN dengan kerjasama Al-Sarraa Foundation dan Sahabat Al-Aqsha Indonesia juga telah menjayakan lebih 10 projek telaga tiub bagi membekal air bersih kepada penduduk Ghoutah Timur.

Sumbangan ikhlas anda boleh terus disalurkan melalui

Tabung Palestin HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2

Semoga Allah memberi ganjaran terbaik di atas sumbangan dan doa anda semua.

SHARE