BANDAR BARU BANGI, 9 Sep 2015 (BHP) — Alhamdulillah, kemurahan hati dan keprihatinan berterusan masyarakat Malaysia ke atas saudara mereka di Palestin sekali lagi terbukti dengan terlaksananya projek pembinaan Akademi Al-Quran Dan As-Sunnah Indonesia-Malaysia di Jabaliya, utara Gaza.

Akademi syar’iyah yang akan memulakan sesi dalam beberapa hari lagi itu bakal memberi manfaat pendidikan kepada anak-anak Gaza yang selama ini dinafikan hak mereka melalui sekatan dan serangan ketenteraan oleh rejim Zionis. Bangunan dan kelengkapan pengajian telah siap dibangunkan hasil keberkatan kerjasama beberapa NGO antarabangsa melibatkan HALUAN, Al-Sarraa Foundation yang beroperasi di Gaza, serta Sahabat Al-Aqsa dan RodjaTV yang berpengkalan di Indonesia.

Dana pembinaan akademi ini terkumpul sejak beberapa tahun lalu, yang asalnya dikhususkan untuk pembinaan Sekolah Syar’iyah di kem pelarian Deir Balah. Bagaimanapun perancangan projek sekolah tersebut tidak dapat diteruskan, justeru pembinaan akademi ini menggantikan projek tersebut.

Ketua Biro HALUAN Palestin, Ahmad Fisal Salleh, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua dermawan yang sangat prihatin sehingga dapat menjayakan projek ini. “Alhamdulillah, projek Akademi Al-Quran Dan As-Sunnah Indonesia-Malaysia akan dapat memberi pendidikan yang lebih terancang kepada 16,000 anak-anak Gaza, agar mereka dapat bersiap-sedia membangun masa depan,” kata beliau. “Kami doakan sumbangan ikhlas masyarakat ini mendapat ganjaran terbaik dari Allah SWT, diberkati kehidupan mereka dunia dan akhirat.”

Selain membangun akademi ini, HALUAN juga menyalurkan sumbangan masyarakat bagi membantu pembangunan pendidikan Palestin dengan menaja lima pelajar di Malaysia dan juga 30 pelajar perubatan yang menuntut di Sudan. “Kita juga telah salurkan bantuan berupa elaun kepada guru-guru al-Quran di Gaza yang terus komited mendidik walaupun keluarga mereka sendiri memerlukan saraan,” sambung Ahmad Fisal. Guru-guru di Gaza tidak menerima bayaran gaji sejak 18 bulan lalu apabila kerajaan perpaduan Palestin di Ramallah mengambil alih pentadbiran.

Akademi ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh pertubuhan Darul Quran Was Sunnah Gaza. Ia mempunyai 12 dewan kuliah.

Masyarakat yang ingin terus menyumbang boleh menyalurkannya melalui

Tabung Palestin HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2

SHARE