[Foto] Gambaran Perjuangan Perit Badwi Palestin Di Naqab

NAQAB, 28 Jan 2015 (EI) — Sekumpulan pemuda dari perkampungan Badwi di kawasan gurun Naqab mempamerkan gambaran perjuangan hidup mereka di bawah kezaliman rejim Zionis dengan mengadakan pameran fotografi bergerak. Galeri foto hasil kreatif serta kesungguhan pertubuhan yang digelar Baladna itu memaparkan keperitan hidup mereka tanpa kemudahan asas yang cukup, baik bekalan air, elektrik, pusat kesihatan, mahupun sekolah.

Tradisi masyarakat Badwi hidup secara semi-nomad. Sejak penubuhan negara haram Zionis pada tahun 1948, masyarakat Badwi di Naqab, yang kini berjumlah 170,000 orang, hidup tertekan di bawah proses urbanisasi secara paksa.

Beberapa minggu lalu, pekan Rahat di Naqab menjadi medan demonstrasi dan protes apabila polis Zionis membunuh seorang pemuda Badwi, Sami Jaar, 22 tahun. Seorang lagi penduduk, Sami Ziadna, juga terkorban apabila polis Zionis menembak gas pemedih mata ketika upacara pengkebumian Sami Jaar.

Kematian dua pemuda Palestin ini mencetus demonstrasi di hampir seluruh wilayah Palestin yang kini diperintah oleh rejim Zionis. Sekitar 1.7 juta rakyat Palestin memegang pasport Zionis, namun mereka sentiasa menjadi mangsa diskriminasi yang sistematik.

Pemusnahan rumah, kebun pertanian dan harta milik Badwi Palestin dilakukan secara berterusan, sehinggakan perkampungan al-Araqib telah dimusnahkan oleh rejim Zionis buat kali ke-80 pada minggu lepas.

Di kawasan perkampungan al-Awajan, penduduk Badwi dipaksa berpindah keluar bagi memberi laluan kepada projek penanaman pokok hutan bukan-asal (non-indigenous) yang dijalankan oleh Jewish National Fund (JNF). Sejak beberapa dekad, perkampungan Badwi yang diusir keluar seperti ini ditanam dengan pokok pine oleh JNF.

Dua foto di atas memaparkan keadaan di al-Awajan.
Dua foto di atas memaparkan keadaan di al-Awajan.

Seorang pakar alam sekitar, Alice Gray, mendakwa pihak Zionis secara berulang kali memusnahkan pelbagai jenis tanaman masyarakat Badwi dengan menyembur Round-Up, sejenis racun herba, menggunakan helikopter sehingga ramai yang terpaksa dimasukkan ke hospital akibat keracunan.

Paparan kisah di Wadi Nam.
Paparan kisah di Wadi Nam.

Pameran Baladna turut memaparkan keadaan sebuah sekolah di Wadi Nam. Sekolah satu bilik beratap besi itu dianggap oleh rejim Zionis sebagai ancaman, sehingga mereka cuba menutupnya dan memindahkan para pelajar ke sebuah sekolah di perkampungan lain.

Perkampungan Siriya.
Perkampungan Siriya.

Masalah bekalan air di perkampungan Siriya turut dipamerkan. Zionis menyekat bekalan air di sini, pada masa yang sama mengeksploitasi sumber asli yang ada di kawasan tersebut.

Perkampungan Aum Btim.
Perkampungan Aum Btim.

Tidak ketinggalan, pameran mereka turut mendedahkan kisah penantian penduduk perkampungan Aum Btin untuk mendapatkan bekalan elektrik sejak 10 tahun lalu. 5,000 penduduk di sini turut menjadi mangsa tindakan jahat pendatang Yahudi di kawasan penempatan berhampiran yang membuang kotoran di perkampungan mereka.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts