GAZA, 7 Okt 2014 (BHP) — Alhamdulillah, Allah SWT memuliakan umat Islam dengan syariat ibadah haji dan korban, agar kita berpeluang meningkatkan ketaatan dan ketakwaan kepadaNya.

Allahu Akbar Wa LiLlahi Hamd… Allah Maha Agung dan semua pujian hanya milikNya.

Dengan keikhlasan para peserta Program Ibadah Korban HALUAN 1435H yang menyalurkan amanah melalui HALUAN, syariat korban ini sekali lagi dapat meningkatkan persaudaraan dan kehangatan kasih sayang kepada saudara kita di Gaza. Alhamdulillah, kita berjaya melaksanakan ibadah korban di bumi barakah, yang mana penduduknya sedang mengharungi perjuangan mempertahankan bumi wakaf umat Islam itu daripada kejahatan rejim Zionis.

Namun tidak seperti tahun-tahun lalu, pada kali ini relawan HALUAN tidak mendapat kebenaran visa melalui Mesir untuk memasuki wilayah Gaza. Justeru semua urusan membeli, menyembelih dan mengagihkan daging diamanahkan kepada para relawan Al-Sarraa Foundation for Humanitarian Relief, sebuah rakan kerjasama HALUAN sejak tahun 2009 lagi.

Menurut penjelasan Pengarah Koordinator Relawan Al-Sarraa Foundation di Gaza, Abu Ahmad Ziyad, “Daging korban rakyat Malaysia yang diamanahkan melalui HALUAN telah diagihkan bersama-sama daging sumbangan Muslimin dari Indonesia, Libya, Turki, Mesir dan Aljeria. Kami agihkan di hampir seluruh wilayah Gaza terutama di kawasan yang diserang teruk baru-baru ini di Jabaliya, Asy-Syuja’iyah, Khuza’ah, Khan Younis, Beit Lahiya, Beit Hanoun, Deiril Balah dan Rafah. Dari utara sampai selatan, Alhamdulillah.”

Selama empat hari, puluhan relawan terlibat mengagihkan daging-daging korban itu, bukan hanya kepada keluarga miskin. “Ratusan keluarga para tawanan di penjara-penjara Zionis, keluarga para syuhada’, orang-orang yang tercedera dan terbaring sakit, para pelarian, semua dibahagikan,” sambung Abu Ahmad Ziyad. Semua relawan yang bekerja untuk operasi Aidiladha ini tidak mendapat apa-apa bayaran. “Bahkan mereka dengan ikhlas meminjamkam kenderaan dengan minyak yang mereka bayar sendiri untuk tujuan mengagihkan amanah ini.”

Semoga Allah menerima semua amalan korban dengan meningkatnya ketakwaan kita. Amin!

SHARE