[Foto] Khuza’a Ranap Dimusnahkan Tentera Zionis

GAZA, 8 Ogos 2014 (PIC | PCHR) — Serangan tentera Zionis selama 10 hari ke atas bandar Khuza’a di daerah Khan Younis di selatan Gaza meninggalkan kesan yang mengerikan – hampir seluruh bangunan menjadi rata, kubah masjid menjadi serpihan batu-bata yang bertebaran dan mayat mereka yang dibunuh serta bau reputan mereka merbak di mana-mana.

Askar-askar Zionis memasuki bandar Khuza’a pada hari Rabu 22 Julai dengan serangan kereta kebal yang sengit, mengorbankan seramai 70 orang penduduk awam dan mencederakan lebih 300 yang lain. Seorang penduduk mendakwa beliau mengira sebanyak 360 serangan menghentam bandar itu dalam tempoh satu jam.

Berikutan pengisytiharan gencatan senjata oleh rejim Zionis, penduduk kembali ke bandar itu untuk memeriksa kerosakan rumah mereka, manakala petugas pertahanan awam bertungkus lumus mencari mayat. Pada 1 Ogos, 51 mayat ditemui di bawah runtuhan.

Tentera Zionis dilaporkan secara sengaja menyerang penduduk awam yang melarikan diri dari rumah mereka. Di pintu jalan masuk bandar Khuza’a berhampiran papan tanda “Bon Yoyage Khuza’a” kelihatan sebuah kerusi roda dalam keadaan remuk. Ia adalah milik seorang wanita lumpuh yang cuba melarikan diri, namun dibunuh kejam oleh tentera Zionis. Semua jaringan elektrik dan telefon serta tangki air di seluruh bandar itu dimusnahkan.

Kemusnahan bandar Khuza’a bagai mengakhiri harapan penduduknya untuk pulang dan menetap semula di situ dalam masa terdekat.

Seorang penduduk, Hamda Abu Rujaila, kehilangan 13 orang ahli keluarganya bersama rumah mereka. “Khuza’a musnah sama sekali. Bandar ini tidak lagi boleh didiami,” kata beliau.

“Kami tidak ada apa-apa lagi. Tidak ada wang, tidak ada apa-apa. Kalau kami ada sebuah kemah, kami sudah dikira amat bertuah,” kata seorang penduduk yang lain.

Sungguhpun kerosakan Khaza’a begitu memeritkan, seorang penduduk bernama Amer Radwan menegaskan, “Ini tanahair kami. Kami akan bina semula apa yang dimusnahkan dan tidak akan keluar dari bandar ini.”

Sama-samalah kita membantu mereka membina semula bandar Khuza’a.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts