[Foto] Memo Bantahan Pencabulan Masjid Al-Aqsa Diserah Ke Kedutaan Amerika

KUALA LUMPUR, 2 Okt 2015 (BHO) — Gabungan 47 badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa parti politik utama negara telah berjaya menyerahkan memorandum bantahan rakyat Malaysia di atas tindakan rejim Zionis mencabuli kesucian Masjid Al-Aqsa kepada wakil Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak hari ini.

Ahli dan relawan HALUAN bersama lebih 1,000 ahli NGO gabungan Kempen Selamatkan Masjid Al-Aqsa telah mengadakan perarakan dari perkarangan bangunan Tabung Haji dan kemudian berhimpuan secara aman tidak jauh dari pintu masuk utama Kedutaan Amerika sejurus selesai solat Jumaat tengahari tadi. Amerika merupakan sekutu utama rejim Zionis yang menyalurkan bantuan berbilion dollar setiap tahun.

Turut hadir menzahirkan bantahan terhadap kejahatan rejim Zionis itu adalah Naib Presiden 2 HALUAN, Nordin Endut, Setiausaha Agung HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin, Ketua Biro HALUAN Palestin, Ahmad Fisal Salleh, serta beberapa orang ahli exco pusat, Biro HALUANITA, Biro Relawan, Biro Pemuda dan Kelab Siswa .

Memorandum yang ditujukan kepada Presiden Amerika itu telah diserahkan oleh dua wakil sekretariat kempen, Mohamad Raimi Abdul Rahim dan Mohd Azmi Abdul Hamid. Antara lain, ia menegaskan tentang kemarahan rakyat Malaysia terhadap rejim Zionis yang mencabar umat Islam secara terang-terangan dengan mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa. Presiden Amerika digesa supaya menggunakan pengaruhnya untuk mendesak rejim Zionis melepaskan kawalan mereka ke atas masjid tersebut serta membebaskan semua rakyat Palestin yang ditahan ketika menghalang tindakan polis Zionis menceroboh masuk menyerang para jemaah.

Ketua Biro HALUAN Palestin, Ahmad Fisal Salleh menyatakan harapannya agar kempen serta perhimpunan ini juga dapat memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat Malaysia tentang apa yang sedang berlaku di Masjid Al-Aqsa. “Masyarakat kita tanpa mengira agama, bangsa dan kefahaman politik perlu sedar tentang tindakan rejim Zionis yang bukan sahaja menodai hak penduduk Palestin bahkan juga melanggar hampir semua undang-undang serta resolusi yang dipersetujui oleh masyarakat antarabangsa,” kata beliau.

Beberapa program susulan akan disusun bagi tujuan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts