BANDAR BARU BANGI, 25 Mac 2015 (BHP) — Lebih 1.5juta penduduk Syria dan pelarian Palestin di Syria yang menjadi mangsa kekejaman rejim Bashar Assad terpaksa mencari perlindungan di Lubnan sungguhpun wilayah asing ini tidak pernah menjanjikan keselamatan dan kedamaian buat mereka.

Tidak seperti di Jordan, Iraq dan Turki, kerajaan Lubnan tidak menyediakan kem penempatan untuk mereka. Justeru pelarian, atau pelarian yang sekali lagi menjadi pelarian, terpaksa menyewa bangunan atau ruang yang boleh dijadikan tempat berteduh. Bahkan ramai yang terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain dengan mengharapkan ihsan keluarga atau masyarakat setempat.

Syukur Alhamdulillah, kita diberi kesempatan untuk menyisihkan sedikit daripada rezki bagi membantu sebahagian daripada mereka, khususnya anak-anak dan keluarga yatim. Sejak tahun lalu, HALUAN melalui kerjasama relawan Al-Sarraa Foundation di Lubnan menggerakkan program penajaan sara hidup sebilangan anak-anak yatim bagi menampung keperluan harian mereka, samada untuk mendapatkan makanan mahupun belanja persekolahan.

Semoga Allah menerima sumbangan kecil kita ini, apatah lagi dalam hal membantu anak-anak yatim. Dalam riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah; “Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lantaran Baginda bersabda: berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim.” Begitu juga, dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: ”Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak.” Dan
Baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).” (Bukhari)

SHARE