[Foto] Tentera Zionis musnahkan rumah penduduk Badwi di al-Quds

AL-QUDS, 21 Jan 2016 (Maan) — Pihak berkuasa rejim penjajah Zionis memusnahkan tiga buah rumah milik penduduk Badwi Palestin di daerah al-Quds Timur, meninggalkan 17 orang tanpa tempat berteduh yang mana separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Tentera Zionis mengawal sepasukan buldozer menceroboh masuk dan mengepung kejiranan Jabal al-Baba di kawasan perkampungan al-Eizariya sebelum memaksa penduduk keluar dan kemudian merobohkan rumah terbabit.

Menurut wakil penduduk Jabal al-Baba, Atallah Mazaraa, tindakan ke atas rumah milik keluarga Hamda Muhammad Odeh Abu Kutaiba, Ali Abu Kutaiba, dan Ghassan Jahalin itu dibuat secara tiba-tiba tanpa sebarang notis awal.

Menurut beliau lagi, penduduk telah diugut dengan muncung senjata selama beberapa jam ketika kerja-kerja perobohan dijalankan, sehingga menimbulkan suasana panik dan takut di kalangan kanak-kanak. Kelengkapan perabot dan barang-barang mereka masih berada di dalam rumah ketika ianya dirobohkan.

Rumah yang menjadi tempat tinggal keluarga Ali Abu Kutaiba dan Ghassan merupakan sumbangan dari Kesatuan Eropah.

Pasukan buldozer tersebut turut membajak tapak bekas rumah terbabit bagi menghalang ianya dibina semula.

Kawasan Jabal al-Baba adalah seluas kira-kira 1,000 dunam. Ia menempatkan puluhan rumah-rumah kecil bagi 350 penduduk Badwi dan juga sebuah bangunan tadika.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts