AL-QUDS, 27 Jan 2016 (Silwanic) — Rejim penjajah Zionis pagi ini memusnahkan dua buah rumah yang sedang dalam pembinaan di kejiranan Jabal al-Mukabbir dan Shufat di al-Quds, atas alasan tidak mempunyai permit pembinaan dan juga mengganggu laluan baharu yang menghubungkan kawasan penempatan haram Yahudi.

Rumah yang dirobohkan di Jabal al-Mukabbir adalah milik keluarga Ibrahim Ali Surri, yang dikatakan tidak mendapat permit pembinaan. Rumah beliau diroboh tanpa sebarang notis awal. Menurut Ibrahim, enam ahli keluarganya merancang untuk masuk ke rumah seluas 60 meter persegi itu beberapa minggu lagi.

Manakala di Shufat, pihak perbandaran Zionis memaksa keluarga Kefaya al-Resheq keluar dari rumah mereka sebelum mula merobohkan rumah tersebut, dengan mengabaikan cuaca sejuk di luar bangunan. Pihak tentera yang mengiringi jentera pihak perbandaran mengepung rumah tersebut dan kawasan sekitar sepanjang proses perobohan.

Rumah mereka dirobohkan bagi memberi laluan untuk membina sebatang jalan baharu, Route 21, yang menghubungkan Shufat ke kawasan penempatan haram Pisgat Zeev, Ramat Shlom dan Neve Yaakov. Rumah tersebut telah dibina sejak 15 tahun lalu, menempatkan seramai 24 ahli keluarga termasuk 17 kanak-kanak.

Tentera Zionis mengamalkan tindakan agresif ke atas penduduk al-Quds dalam usaha mengusir mereka keluar, terutama sekali dengan cara memusnahkan rumah mereka dengan alasan tidak memiliki permit pembinaan.

Sebanyak 579 buah rumah penduduk Palestin di al-Quds Timur dimusnahkan sejak 12 tahun lalu.

SHARE