Gaza kembali tenang selepas 3 hari serangan, 27 disahkan terbunuh

GAZA, 6 Mei 2019 — Suasana di Gaza kembali tenang apabila persefahaman damai dicapai selepas diserang oleh tentera Zionis selama tiga hari sejak Sabtu lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Qatar dan Mesir dilaporkan menjadi pengantara yang membantu proses menghentikan keganasan tentera Zionis ke atas Gaza. Menurut TV al-Aqsa, gencatan senjata berkuat kuasa mulai jam 4:30 pagi Isnin, dan tidak ada lagi serangan tentera Zionis dilaporkan selepas waktu tersebut.

Laporan Kementerian Kesihatan menyebut seramai 27 penduduk awam telah terbunuh, termasuk dua wanita hamil dan tiga orang bayi, manakala sekurang-kurangnya 170 orang tercedera.

Dua mangsa terakhir ditemui oleh pasukan perubatan di bandar Beit Lahiya, utara Gaza. Pasangan suami isteri Talal Abu al-Jedian dan Raghda Abu al-Jedian ditemui di bawah runtuhan bangunan apartmen mereka di Menara Sheikh Zayed, yang diserang pada hari Ahad, dan dikejarkan ke Hospital Indonesia di mana mereka disahkan meninggal dunia.

Anak lelaki pasangan tersebut, Abdul Rahman al-Jadyan, 12, terbunuh dalam serangan beberapa jam sebelum itu.

Jet-jet, kapal perang dan kereta kebal tentera Zionis melancarkan 295 serangan, menyasarkan kemudahan awam termasuk bangunan kediaman, kedai, masjid and pejabat media, ketika penduduk Gaza sedang bersedia untuk menyambut ketibaan bulan suci Ramadan.

(PIC, Maan)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts