Gaza : Tiba-tiba Saja Tiada Lagi Senyuman Comelnya

GAZA, 16 Nov 2012 — Serangan peluru berpandu Zionis ke atas Gaza pada hari Rabu meninggalkan satu kelopongan yang menyiksakan di rumah dan hati keluarga anak yang baru berusia 11 bulan, Omar Masharawi, yang syahid dibakar seluruh badan kecilnya.

“Anak-anak saya bukan pengganas. Mereka bukan syaitan. Mereka orang-orang yang baik,” kata Ali Masharawi, 55, datuk kepada Omar, yang telah dibunuh bersama-sama dengan menantu perempuannya yang berusia 20 tahun, Hiba al-Turki. Ahmad, salah seorang daripada anak lelaki Ali, juga mengalami cedera parah.

Bayi Omar, anak kepada Jihad Masharawi iaitu seorang staf BBC di Gaza, adalah salah seorang daripada beberapa orang kanak-kanak yang terbunuh sejak pengeboman intensif Zionis bermula pada hari Rabu, yang turut meragut nyawa Shaheeda Haneen Tafesh, seorang bayi kecil berusia 10 bulan.

Peluru berpandu menyasari rumah keluarga Masharawi di selatan Bandar Gaza sejurus selepas tentera Zionis melanggari persetujuan gencatan senjata yang rapuh itu pada hari Rabu, dengan melaksanakan pembunuhan terancang terhadap komander tentera Hamas, Ahmad al-Jabari. Pembunuhan al-Jabari dan pengawal peribadi beliau telah mencetuskan balasan pelancaran roket oleh pejuang Palestin di tengah-tengah serangan udara Israel yang menghujani bumi Gaza tanpa henti.

“Saya seorang yang sentiasa tenteram dan saya pernah bekerja di negara haram Zionis semasa muda, tetapi sekarang saya seakan mahu meletup,”kata Masharawi di majlis pengkebumian anaknya di Bandar Gaza.

“Dia meninggalkan kami begitu awal”

Pada petang Jumaat, ibu Omar, Ahlam, tinggal bersama kakaknya.

“Apabila anak sulung saya, Ali mencecah usia tiga tahun dia sering memberitahu saya dia mahu adik lelaki untuk bermain. Saya berbincang dengan suami saya, Jihad dan kami berdua bersetuju untuk dapatkan anak lagi, ” kata Ahlam.

“Omar datang ke dalam kehidupan kami dan kini dia telah pergi dari kami sebegitu awal,” katanya. Remuk berderai, Ahlam teringat saat-saat bahagia bila Omar menggembirakan keluarga beliau.

“Omar adalah seorang bayi yang sangat aktif dan ceria serta bijak. Beliau selalu meniru cara kami memegang telefon bimbit dan meletakkan di telinganya. Secara tiba-tiba saya tidak lagi boleh memberi dia makan, tidak lagi melihat senyuman cerianya, dan tutur kata manjanya sudah dilenyapkan.”

Di sudut lain kejiranan di rumah saudara mereka, nenek kepada Omar, Ummu Jihad, menerima wanita-wanita berkabung yang berziarah. Beliau menyanyikan beberapa rangkap dodoian bayi yang sering beliau nyanyikan untuk Omar cucunya.

“Saya sering meribanya pada waktu tidur dan menyanyi untuknya. Beliau buah hati isi rumah kami dan semua orang dalam keluarga sayangi dia. Apabila dia dilahirkan, saya berasa begitu gembira dan memberitahu Jihad, anak saya, bersyukurlah kepada Allah kerana saya kini mempunyai dua cucu daripada kamu, anak kesayanganku,” kata Ummu Jihad sambil menangis.

Hiba al-Turki, yang meninggal dunia bersama-sama dengan Omar, adalah isteri kepada abang Jihad, Imad. Sejak beberapa bulan lalu, Hiba telah jatuh sakit dan memilih untuk tinggal berdekatan dengan keluarganya sendiri.

“Beliau berkahwin dengan anak saya Imad hanya lima bulan yang lalu, jadi dia masih seorang pengantin,” kata Ummu Jihad.

Mahmoud, 17, bapa saudara kepada Omar, juga menangis ketika menceritakan kesedihan yang menimpa mereka kepada The Electronic Intifada di dalam bilik yang sama di mana Omar hangus dibunuh: “Saya sangat akrab dengan bayi comel ini. Setiap hari kembali dari sekolah, saya memeluk dan bermain dengan dia. Kini, Zionis telah mengambil beliau dan mengambil jiwa kami bersama. Apa yang kanak-kanak ini telah lakukan hingga dia dibunuh? ”

Satu bola api

Jihad, bapa kepada Omar, tetap tabah ketika menerima rombongan takziyah yang berziarah. Beliau memberitahu orang-orang yang datang bahawa tembakan besar-besaran Zionis yang mensasarkan rumahnya dan membunuh anaknya adalah serupa dengan apa yang lihat serangan besar-besaran Zionis ke atas Gaza pada bulan Januari 2009.

“Saya mendakwa keseluruhan rejim Zionis bertanggungjawab di atas keganasan ini termasuk ahli-ahli politik, tentera dan rakyat biasa yang menyebabkan kematian anak saya, yang telah dibakar rentung sepenuhnya,” kata Jihad.

Menurut jiran-jiran dan saksi, suatu bebola api melanda bumbung rumah keluarga Masharawi di kawasan padat penduduk di selatan Bandar Gaza.

“Kawasan kami ini adalah bebas daripada sebarang aktiviti yang mencurigakan dan saya boleh memberi jaminan bahawa tidak terdapat orang yang bersenjata di sini. Kawasan kami sentiasa tenang dan penduduk saling kenal antara satu sama lain,” Jihad berkata, sambil menunjukkan kerosakan yang diakibatkan oleh peluru berpandu ke atas rumahnya. “Saya tidak pernah membayangkan bahawa rumah saya akan menjadi sasaran Zionis. Mengapa kami disasarkan?”

—-

Terjemahan laporan Rami Almeghari, seorang wartawan dan pensyarah universiti di Semenanjung Gaza melalui The Electronic Intifada.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts