HALUAN Bekerjasama Bangun Hospital Besar Di Gaza

GAZA, 31 Dis 2012 — HALUAN Malaysia dengan kerjasama NGO Sahabat Al-Aqsha dari Indonesia dan Al-Sarraa Foundation dari Gaza telah diamanahkan untuk membangunkan sebuah hospital besar di Gaza. Perkara ini dijelaskan oleh relawan Sahabat Al-Aqsha yang baru berkunjung ke pejabat Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya.

Terletak di Asy-Syuja’iyyah, Jalan Salahuddin Al-Ayyubi iaitu jalan utama menghubungkan Beit Lahiya di utara Gaza hingga ke Rafah di selatan Gaza, hospital ini bakal menyediakan kemudahan perubatan kritikal untuk rakyat Gaza termasuk rawatan berkaitan barah.

“Projek ini sebenarnya telah dicadangkan oleh Kementerian Wakaf di mana Perdana Menteri Palestin sendiri telah menyaran supaya sebuah bangunan sedia ada yang sudah lama tidak berfungsi digunakan untuk tujuan ini,” jelas Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan.

Bangunan Pusat Pameran Dagangan Antarabangsa yang dibina oleh Palestinian Authority (PA) dengan kerjasama rejim Israel ketika mereka berkuasa di Gaza telah dipersetujui untuk diubahsuai menjadi hospital berkenaan. Bangunan tujuh tingkat yang tidak lagi berfungsi itu masih dalam keadaan sempurna dan terletak di lokasi yang sangat strategik.

Kenyataan jurucakap Sahabat Al-Aqsha, Salim Fillah, menyebut projek ini tidak melibatkan sebarang kerja pembinaan yang besar kerana tapak dan bangunan milik kerajaan sudah tersedia. “Insha-Allah ini merupakan sebuah projek yang baik, dan kita tidak perlu mengeluarkan dana untuk membina bangunan baru kerana semuanya sudah tersedia dengan sempurna di lokasi utama. Kita akan memaksima dana untuk tujuan pengubahsuaian dalaman bagi melengkapkan keperluan hospital, bilik bedah, pembelian kelengkapan hospital dan juga ubat-ubatan.”

Pembinaan sebuah lagi hospital di Gaza mungkin menimbulkan pertanyaan apakah projek ini benar-benar diperlukan? Menjawab persoalan ini, wakil Perdana Menteri ketika mengadakan perbincangan dengan delegasi Sahabat Al-Aqsha berkata, “rakyat Gaza kini berjumlah 1.7 juta orang. Sewaktu diserang tentera Zionis selama lapan hari bulan November lalu, lebih dari 1,500 orang tercedera (badan mereka) patah, putus, berlubang, terkoyak, keracunan dan cacat akibat serpihan-serpihan bom dan kesan bahan letupan kimia Zionis. Hospital-hospital kami menjadi sesak. Tidak cukup cuma sebuah (hospital). Anda bangunkan sepuluh (hospital) pun kami bersyukur!”

Perlaksanaan projek ini akan dilaksana oleh Al-Sarra Foundation dan dipantau oleh Kementerian Wakaf. HALUAN Malaysia bekerjasama meyalurkan bantuan ke Palestin dengan kedua-dua NGO terbabit sejak lebih lima tahun lalu. Al-Sarraa Foundation yang ditubuhkan oleh para ulamak di bawah Robitah Ulamak Palestin telah banyak membantu HALUAN menyalur bantuan di Gaza dan juga kem-kem pelarian Palestin di Syria, Lubnan dan Iraq.

HALUAN dengan kerjasama Sahabat Al-Aqsha akan mengeluarkan maklumat lanjut projek ini dalam waktu terdekat agar masyarakat Malaysia termasuk warga korporat dan industri perubatan dapat sama-sama membantu rakyat Gaza.

Teruskan sumbangan anda untuk dana bantuan Palestin melalui “Tabung HALUAN Palestin” di Bank Islam Malaysia Berhad 14 023 01 003429 2 atau Maybank Berhad 5644- 9020-8528.

Bersatu Untuk Palestin

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts