HALUAN Lancar Kempen Komitmenku Buat Palestin

RAWANG, 30 Dis 2013 — Penduduk Gaza yang kini berjumlah 1.8 juta orang masih hidup di bawah sekatan haram rejim Zionis yang berterusan sejak lebih tujuh tahun lalu. Keperluan asas amat sukar untuk diperolehi, termasuklah ubat-ubatan dan bekalan minyak.

Bencana banjir yang melanda beberapa minggu lalu menambahkan lagi tekanan kepada rakyat Gaza. Malahan tentera Zionis terus menceroboh dan menyerang wilayah Gaza, hampir setiap hari, tanpa menghiraukan musibah yang melanda di musim sejuk ini. Malangnya, masyarakat antarabangsa terus berdiam diri seolah-olah kurang berminat untuk membantu.

HALUAN melalui Biro HALUAN Palestin terus bersama masyarakat prihatin Malaysia menghulur bantuan untuk rakyat Palestin, terutamanya di Gaza. Komitmen ini diteguhkan lagi melalui berbagai projek bantuan kecemasan dan jangka panjang yang telah dirancang secara tersusun.

Sebagai memudahcara penderma menyalurkan bantuan ikhlas mereka untuk Palestin, HALUAN telah melancarkan kempen “Komitmenku Buat Palestin” yang menyediakan mekanisme bagi menghulurkan sumbangan secara konsisten. Melalui kempen ini, setiap penderma boleh membuat sumbangan melalui arahan tetap bank sebanyak RM10 setiap bulan.

“Setiap golongan masyarakat, samada pelajar, surirumah, profesional ataupun ahli korporat, sebenarnya mampu berperanan dalam membantu rakyat Palestin. Melalui kempen Komitmenku Buat Palestin ini, kita menyediakan ransangan kepada masyarakat untuk memberi komitmen berterusan bagi menjayakan projek-projek bantuan dengan hanya RM10 sebulan,” kata Dr Syed Muhammad Haleem. “Jika kita tidak mampu menghulurkan RM10 sebulan, kita masih boleh berperanan dengan mengajak rakan-rakan atau ahli keluarga secara berkelompok, mengumpulkan RM10. Dengan komitmen seperti ini, kita bakal melahirkan masyarakat yang sentiasa mencari peluang untuk membantu orang yang memerlukan.”

Pelancaran telah disempurnakan oleh Pengerusi Surau Al-Muttaqin Taman Antara Gapi, Encik Burhanuddin Mohammed Berawi di sini. Majlis ringkas itu diadakan bersempena program Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2013 dan ceramah bertajuk “Mavi Marmara : Pengalaman Pahit Di Penjara Zionis”.

Dalam ceramah beliau, Dr Syed Muhammad Haleem juga telah menceritakan pengalaman ketika ditahan di sebuah penjara Zionis dalam peristiwa serangan ke atas konvoi laut Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Beliau yang menjadi seorang relawan perubatan di atas kapal MV Mavi Marmara telah melalui detik-detik ngeri berhadapan dengan kekejaman tentera Zionis yang telah menyerang dan mengorbankan sembilan nyawa serta mencederakan lebih 60 orang rakannya.

Mengikut penjelasan Dr Syed Muhammad Haleem, kutipan sumbangan melalui kempen ini akan disalurkan kepada beberapa
projek jangka panjang dan strategik untuk rakyat Palestin. Antaranya adalah bantuan kecemasan ketika serangan dan bencana alam, pembinaan Hospital Besar Bedah Malaysia-Indonesia di Asy-Syuja’iyyah di Gaza City, pembinaan Pusat Rawatan Kanser Al-Huda di al-Rimal Tal Islam, Gaza City, dan bantuan Untuk Pelarian Palestin di Syria, Lubnan dan Iraq. Dalam sektor pendidikan pula, HALUAN membantu pembinaan Sekolah Rendah Syari’ah di Kem Pelarian Deir al-Balah, Gaza, menaja 30 orang pelajar perubatan Gaza di universiti terpilih di Sudan, dan membantu Operasi Maahad Tahfiz di Masjid Umari Al-Kubra di al-Daraj, Gaza.

Terkini, HALUAN sedang menjalankan kempen bantuan kecemasan bencana banjir dan musim sejuk untuk rakyat Gaza.

Peserta kempen Komitmenku Buat Palestin ini juga bakal mendapat beberapa manfaat istimewa yang dapat meningkatkan lagi penglibatan dan keprihatian mereka dalam usaha membantu rakyat Palestin.

Sumbangan boleh juga disalurkan terus ke akaun Tabung Palestin HALUAN di Bank Islam Malaysia Berhad (Nombor Akaun 14-023-01-0034292) atau Maybank Berhad (Nombor Akaun 5644-9020-8528).

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts