GAZA, 3 Jan 2013 — Sebahagian lagi dana bantuan rakyat Malaysia untuk Palestin yang disalurkan melalui HALUAN Malaysia telah disampaikan. Dana bagi menampung keperluan perubatan rakyat Gaza, khususnya untuk pesakit kanser, telah disampaikan melalui relawan Sahabat Al-Aqsha yang berada di Gaza dalam misi bantuan kemanusiaan mereka di sana.

Sahabat Al-Aqsa merupakan sebuah NGO Indonesia yang bekerjasama erat dengan HALUAN Malaysia dalam menyalurkan bantuan dan projek kemanusiaan kepada rakyat Palestin, termasuk para pelarian di luar negara Palestin, sejak lebih lima tahun lalu. Manakala projek bantuan khusus untuk rawatan pesakit kanser ini dilaksanakan oleh HALUAN Malaysia dan Sahabat Al-Aqsa dengan kerjasama Al-Sarraa Foundation, sebuah NGO di Gaza yang tubuhkan oleh Robitah Ulamak Palestin.

Melalui dana bantuan rakyat Malaysia dan Indonesia ini, sebuah klinik di Bandar Gaza telah diubahsuai menjadi Pusat Rawatan Kanser Al-Huda.

Pesakit kanser di Gaza meningkat secara drastik sejak tahun 2008 apabila tentera Zionis menyerang Gaza dengan menggunakan senjata larangan dan bom kimia, termasuk fosforus putih. Palestinian Cancer Patients Friends Society (PCPFS) mendedahkan terdapat 1,500 kes penyakit kanser setiap tahun sejak tiga tahun lalu.

“Laporan WHO menunjukkan seramai 4,843 pesakit kanser dirujuk ke pusat-pusat rawatan di Mesir antara pertengahan tahun 2010 dan 2011. Ramai yang terpaksa menangguh rawatan kerana mereka dihalang keluar Gaza oleh rejim Zionis dan Mesir,” kata Abu Ahmad, Pengarah Al-Sarraa Foundation.

Tidak kurang juga pesakit kanser yang terpaksa mendapatkan rawatan di Tel Aviv. “Masalahnya, hanya ada dua buah hospital Gaza yang mempunyai peralatan merawat kanser,” kata salah seorang doktor dan pengurus PCPFS.

“Melalui relawan Sahabat Al-Aqsha yang berkunjung ke Gaza, kami telah mendapatkan penjelasan secara mendalam daripada para pesakit, doktor dan pihak pengurusan klinik tentang keperluan rawatan rakyat Gaza. Kami memutuskan bahawa adalah lebih strategik dan mendesak untuk kami membantu klinik tersebut menyediakan peralatan rawatan kepada pesakit kanser yang sangat kronik di Gaza sekarang,” jelas Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan. “Semua senarai keperluan peralatan yang berkaitan dan justifikasi keperluannya telah dibincangkan.”

Selain daripada ubat-ubatan, antara alat-alat yang diperlukan termasuklah mesin kemoterapi, mamografi, tabung darah, monitor dan alat penggera jantung.

“Projek ini jangka panjang. Mereka masih memerlukan bantuan kita untuk menyediakan kemudahan rawatan kanser ini. Ribuan pesakit kanser di Gaza sedang menanti siapnya pusat ini, kerana mereka menderita sekian lama tanpa peluang mendapat rawatan bahkan ramai juga yang telah meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan,” kata Dr Syed Muhammad Haleem.

Teruskan sumbangan anda untuk dana bantuan Palestin melalui “Tabung Palestin HALUAN” di Bank Islam Malaysia Berhad 14 023 01 003429 2 atau Maybank Berhad 5644 9020 8528.

SHARE