BANDAR BARU BANGI, 17 Mei 2018 — HALUAN menyeru semua lapisan masyarakat menzahirkan dan meneruskan bantahan terhadap kezaliman rejim Zionis Israel yang membunuh rakyat Palestin dan mencabul kesucian kota Baitulmaqdis serta menceroboh masjid Al-Aqsa tanpa henti.

Perkembangan di bumi Palestin kebelakangan ini adalah amat membimbangkan. Tindakan Amerika Syarikat (AS) memindah pejabat kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada 14 Mei lalu, setelah mengisytiharkan kota suci Baitulmaqdis sebagai ibukota negara haram Israel pada bulan Disember tahun lalu, telah menyemarak api kemarahan rakyat Palestin dan mengundang bantahan yang meluas. Lebih menghinakan lagi, majlis perasmian pejabat baharu kedutaan itu dilangsungkan pada hari ulang tahun ke-70 peristiwa hitam Nakba, di mana lebih 700,000 penduduk Palestin telah dihalau keluar secara kejam dari tanah air mereka pada tahun 1948.

Meskipun dibantah oleh 128 negara, AS dengan angkuh merasmikan pejabat kedutaan mereka di Baitulmaqdis itu, sekaligus bersekongkol dengan dasar rejim Zionis yang membunuh dan menzalimi rakyat Palestin, serta menafikan hak-hak asasi mereka.

Bantahan penduduk Palestin memuncak dengan pelancaran gerakan perhimpunan aman ‘Great Return March’ pada 30 Mac lalu, yang bertujuan untuk menuntut hak mereka kembali ke tanahair asal yang dirampas secara brutal oleh rejim Zionis.

Sejak 30 Mac, seramai 116 penduduk Gaza termasuk wanita, petugas media, petugas perubatan, kanak-kanak dan juga bayi telah terbunuh. Manakala lebih 12,000 yang lain tercedera, kebanyakannya akibat tembakan peluru hidup.

Sikap berdiam diri pemimpin dan masyarakat dunia terhadap kezaliman dan penindasan maksimum rejim Zionis ke atas penduduk Palestin adalah amat malang sekali. Sikap tidak ambil peduli ini adalah sama seperti menyokong dan bersetuju dengan kezaliman rejim Zionis.

Oleh itu, HALUAN menyeru masyarakat dari berbilang bangsa, agama dan budaya supaya bersatu dan terus membantah kerakusan rejim Zionis ini.

HALUAN juga menyokong penuh bantahan kerajaan Malaysia pimpinan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas rejim Zionis, serta mengalu-alukan sebarang langkah pihak kerajaan untuk terus membela rakyat Palestin.

HALUAN menegaskan bahawa semua tindakan yang mengganggu ketenteraman, menindas dan mencabul hak rakyat Palestin mesti dihentikan serta merta. Rejim Zionis harus dihukum dengan setimpal, dan hak-hak bangsa Palestin harus dihormati dan dipulangkan sepenuhnya.

SHARE