Hamdallah selamat dari serangan bom

GAZA, 13 Mac 2018 — Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA), Dr Rami Hamdallah, dan Ketua Perisikan PA, Majed Faraj, terselamat dalam serangan bom ketika memasuki wilayah Gaza melalui lintasan sempadan Beit Hanoun hari ini.

Dalam kejadian tersebut, tiga buah kenderaan rosak akibat letupan bom sejurus selepas kenderaan yang dinaiki Hamdallah dan Faraj melintas, menyebabkan tujuh pengawal keselamatan cedera.

Hamdallah berkunjung ke utara Gaza bagi upacara perasmian sebuah loji penyulingan air. Menurut Hamdallah, kejadian tersebut membangkit semangat kepada usaha-usaha untuk membantu Gaza dan menghentikan perpecahan di kalangan kelompok-kelompok Palestin.

Hamas mengutuk keras serangan tersebut dan mendakwa ianya sebagai cubaan untuk menimbulkan ketegangan serta menggagalkan usaha penyatuan. Kenyataan Hamas menyebut bahawa kunjungan Hamdallah ke Gaza adalah demi kepentingan semua pihak di Palestin, termasuk Hamas dan Jihad Islami.

(PIC, MEMO, IMEMC)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts