Insafi penderitaan umat Islam bersama Program Imarah Ramadan 1437H

BANDAR BARU BANGI, 11 Jun 2016 (BHP) — Buat tahun keenam berturut-turut HALUAN menganjurkan Program Imarah Ramadan untuk mengajak masyarakat Islam di Malaysia mengambil manfaat bulan Ramadan dengan sebaiknya bagi menginsafi diri kepada Allah SWT.

Di tengah-tengah ketekunan umat Islam meningkatkan ketaqwaan melalui ibadah puasa, solat terawih dan lain-lain amal soleh, Program Imarah Ramadan 1437H memberi ruang untuk mereka mengambil peduli apa yang berlaku kepada umat Islam khususnya di Palestin dan Syria. Apatah lagi bulan Ramadan menjadi rebutan para solihin berbakti sesama manusia kerana dijanjikan Allah SWT dengan penuh kebaikan dan ganjaran.

Bahkan Rasulullah SAW membawa tauladan untuk kita sebagaimana kata Ibnu Abbas RA dalam hadis riwayat al-Bukhari (1902) dan Muslim (6149), “Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah, lebih-lebih pada bulan Ramadhan ketika ditemui oleh Jibril. Jibril menemui Beliau SAW pada setiap malam bulan Ramadhan lalu membacakan al-Quran padanya. Saat ditemui Jibril, Rasulullah SAW lebih pemurah daripada angin yang bertiup.”

Khusus bagi tahun 1437H, di mana keadaan di Masjid al-Aqsa dan kota al-Quds menjadi semakin meruncing akibat kejahatan dan kezaliman rejim Zionis, HALUAN mengajak masyarakat untuk memahami dan mengembangkan syiar Intifadah al-Quds melalui perkongsian maklumat dalam ceramah dan juga pameran di masjid, surau, sekolah dan juga pejabat.

Untuk tujuan ini, HALUAN membawa imam-iman hufaz asal Palestin dan Syria menjayakan program solat terawih di masjid atau surau yang dibenarkan oleh pihak berwajib.

Program ini juga membuka peluang kepada masyarakat untuk menginfak sebahagian daripada rezeki mereka untuk dana bantuan kemanusiaan, terutamanya untuk pembelaan al-Aqsa dan saudara kita di Palestin, Syria dan Kemboja.

Melalui program ini juga HALUAN berharap dapat menggembleng masyarakat berbakti dalam kesukarelawanan dan usaha bantuan kemanusiaan, samada untuk masyarakat setempat kita mahupun umat Islam di luar negara.

Ke mana infak atau kutipan dana akan disalurkan?

HALUAN menyampaikan amanah dermawan Malaysia untuk program bantuan strategik, khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan, serta bantuan bermusim dan kecemasan.

Sebahagian daripada infak pada bulan Ramadan kali ini akan disalurkan untuk membantu keluarga para murabitun (penjaga) Masjid Al Aqsa dan mangsa kezaliman Zionis di al-Quds dan wilayah Palestin yang lain.

Projek tajaan sara hidup anak yatim pelarian Palestin dan Syria di Lubnan, khususnya di kem Ein El-Hilweh, memerlukan komitmen serta dana yang berterusan.

Di samping itu, HALUAN dengan kerjasama NGO antarabangsa telah berjaya membina Akademi Al Quran dan As Sunnah Indonesia-Malaysia di Jabalia, utara Gaza. Namun akademi ini masih memerlukan dana yang besar untuk kos operasi.

HALUAN juga akan meneruskan komitmen bagi membantu kos operasi dan ubat-ubatan klinik kesihatan pelarian Palestin dan Syria di Sakan Karomah, Jordan, yang dijayakan secara kerjasama dengan NGO di Jordan dan Universiti Teknikal Melaka.

Kerjasama dengan NGO tempatan Al-Sarraa Foundation akan diteruskan dalam mengagih keperluan harian untuk keluarga yang terkepung di Syria dan juga Gaza.

Semoga Ramadan kali ini boleh membawa anjakan kepada kita untuk lebih bertakwa kepada Allah SWT, menjadi insan yang lebih bermanfaat untuk manusia lain. Ramadan adalah waktu yang paling tepat untuk kita berlumba merebut kebaikan dan membaiki diri, meraih keampunan Allah.

Sumbangan anda boleh juga disalurkan melalui

Tabung Palestin HALUAN
Maybank 5644-9020-8528

Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
Maybank 5622-6350-2611

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts