Intifadah Al-Quds Membawa Hasil Yang Strategik Dan Luar Biasa

AL-QUDS, 11 Nov 2015 (PIP) — Walaupun hanya beberapa minggu sejak bermulanya Intifadah Ketiga Tebing Barat, Al-Quds dan Wilayah Palestin 1948 yang terjajah, kita dapat melihat beberapa perkembangan menarik, khususnya dalam sudut politik, jika dibandingkan dengan beberapa intifadah terdahulu.

Meskipun intifadah kali ini dilihat kecil, namun ia membawa penunjuk strategik yang harus diberi perhatian. Ini kerana intifadah kali ini menyegarkan kembali sejumlah fakta yang hampir hilang dari kancah politik dunia Arab sejak bertahun-tahun lalu.

Pertamanya, intifadah kali ini berjaya mengembalikan perhatian dan kepedulian terhadap isu Palestin setelah lama diabaikan dan mengalami kemalapan kerana faktor dalaman dan luaran. Setelah begitu lama menyepi kerana konflik di Syria, Mesir, Iraq, Libya, Yaman dan beberapa kawasan lain, kini isu Palestin kembali mendapat perhatian dunia. Kerajaan Amerika, PBB dan negara-negara besar dunia mengambil pelbagai usaha diplomatik dan pertemuan untuk meredakan intifadah. Dunia bimbang jika intifadah berlanjutan.

Kita tidaklah mengharapkan banyak perkembangan yang positif dari usaha negara-negara tersebut, namun usaha itu sendiri merupakan salah satu matlamat intifadah. Hal tersebut mengingatkan dunia bahawa ada konflik utama yang masih menantikan penyelesaian. Dunia hari harus ini sedar bahawa “tempoh bertenang” selama ini hanyalah seperti api dalam sekam, dan Palestin tidak bermaksud untuk berdiam diri menerima status quo yang ada pada masa ini.

Kedua, intifadah kali ini telah mengembalikan dukungan masyarakat umum dunia kepada rakyat Palestin serta perjuangan mereka yang sah dari segi undang-undang, terutama sekali bagi masyarakat di dunia Barat. Di beberapa pelusuk dunia, termasuklah di Amerika dan Eropah, mereka mengadakan perhimpunan besar-besaran menyokong intifadah dan mengecam perlanggaran hak asasi manusia, serta kekerasan dan kejahatan rejim Zionis.

Kita juga menyaksikan sejumlah persidangan dan perhatian media massa Barat terhadap intifadah ini. Selama ini Barat hanya menerima maklumat dari pihak Zionis, namun kini ada kecenderungan dunia untuk mendapatkan dan menerima maklumat dari pihak Palestin. Ini membuat perwakilan rejim Zionis di parlimen-parlimen Barat menjadi tertekan. Dalam kes keganasan tentera Zionis ke atas Gaza, parlimen di Eropah juga menghadapi banyak tekanan sehingga mereka terpaksa mengiktiraf negara Palestin.

Ketiga, Intifadah Al-Quds ini dapat mendedahkan sifat sebenar rejim penjajah Zionis dengan membuka pekung mereka dan mengangkat isu perlanggaran dan kejahatan mereka, bahkan mendorong untuk mencabut pengiktirafan terhadap mereka. Entiti Zionis kini tidak lagi dipandang sebagai sebuah negara yang bermoral. Dalam tunjuk perasaan di Barat, poster yang dinaikkan adalah gambar rakyat Palestin yang berjuang demi kebebasan menghadapi persenjataan rejim Zionis yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Seterusnya, intifadah ini telah mewujudkan kesedaran yang lebih luas tentang hakikat konflik yang berlaku. Selama ini, hanya isu kepungan ke atas Gaza dan keganasan rejim Zionis ke atas Gaza yang diangkat. Sehinggakan isu yang sebenarnya dilupakan. Isu Palestin bukanlah tentang perang di antara dua negara yang berjiran, ia bukan sekadar usaha mengangkat kepungan dan membebaskan 1.8juta rakyat Palestin di Gaza. Tetapi hakikat sebenar konflik ini ialah masih wujudnya sebuah bangsa yang menjajah negara lain pada abad ke-21 ini, dan tidak nampak penjajahan ini akan berakhir.

Selain hasil yang pelbagai, Intifadah Al-Quds juga telah mampu menekan penjajah rejmi Zionis sehingga terpaksa memberikan sejumlah hak dan tolak ansur untuk menjamin tempoh bertenang yang dimeterai bersama. Rejim Zionis berkali-kali menegaskan, tidak ingin mengubah status di Al-Quds dan akan menamatkan gagasan Al-Quds raya mereka. Mereka juga melarang warga penduduk Yahudi tinggal di perkampungan yang dihuni warga Arab Palestin.

Rabi-Rabi Yahudi juga terpaksa mengeluarkan fatwa lama yang melarang Yahudi melakukan ritual di Masjid Al-Aqsa, untuk menjaga keselamatan mereka dan menghentikan protes dari umat Islam.

Selain daripada apa yang kita lihat di atas, terdapat sejumlah penunjuk strategik yang harus dijadikan landasan Palestin dan Arab untuk mencapai hasil yang memberangsangkan dalam konflik Arab-Zionis. Antaranya, ia mendedahkan kegagalan strategi yang diambil oleh golongan elit Palestin yang bergantung kepada ‘sifat baik’ rejim Zionis. Cara golongan elit Palestin ini jelas sekali telah gagal dan berakhir.

—-

Diolah semula oleh Umar Ismail dari tulisan Faras Abu Hilal di laman web Pusat Informasi Palestina.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts