Petang Selasa minggu kedua dalam bulan Disember 1987. Sebuah trak pengangkut tentera Zionis merempuh sebarisan kereta yang membawa warga Palestin pulang bekerja dari wilayah tanahair mereka yang terjajah, yang kini dikenali sebagai Israel. Kemalangan di perlintasan Bait Hanun di utara Gaza itu mengorbankan empat orang Palestin, tiga di antaranya dari kem pelarian Jabaliya. Tujuh yang lain cedera parah. Kejadian tragis ini disaksikan ratusan pekerja Palestin.

Sekitar sepuluh ribu orang menghadiri upacara pengkebumian mereka. Demonstrasi besar-besaran segera tercetus. Berita angin tersebar di Jabaliya, bahawa peristiwa kemalangan itu sengaja dilakukan sebagai membalas dendam terhadap kematian Shlomo Sakal dua hari sebelumnya. Peniaga plastik dari Israel itu ditikam hingga mati ketika membeli-belah di Gaza. Tunjuk perasaan yang diwarnai dengan lemparan batu dan bom Molotov berterusan.

9 Disember 1987, Intifadah Pertama tercetus.

Di hadapan Hospital Syifa di Kota Gaza, para pemuda Palestin menangkap seorang askar Zionis dan menelanjang beliau hingga hanya tinggal seluar dalam. Dia kemudian segera disuruh kembali ke pasukannya. Di tempat lain, seorang pemuda Palestin berjaya merebut senjata tentera Zionis, kemudian dipatahkan dan dikembalikan.

Protes yang menjadi rusuhan itu akhirnya mengorban syuhada pertama intifadah di Jabaliya. Seorang pemuda berusia 17 tahun ditembak mati setelah melempar bom Molotov. Protes tersebar ke seluruh Gaza dan Tebing Barat. Rakyat Palestin meluahkan kemarahan dengan melempar batu, membakar tayar dan menyekat jalan.

Anak-anak juga terlibat. Musab, salah seorang anak lelaki pengasas Hamas, Syeikh Hasan Yusuf, masih benar-benar ingat pengalamannya membaling batu ke arah askar Zionis dan pendatang Yahudi. Di tahun kedua intifadah, beliau baru genap berumur sepuluh tahun.

Ceritanya begini. Menjelang Maghrib, Musab bersama seorang kawannya merancang untuk membaling bas pendatang Yahudi yang biasa melalui kawasan Al-Bireh, kota kembar Ramallah di Tebing Barat. “Kerana bas adalah lebih besar dibanding dengan kereta dan mudah kena,” kata Musab mengenang peristiwa tersebut.

Para pendatang itu tinggal di sebalik bukit. Penempatan haram mereka dikelilingi tembok tinggi yang lengkap dengan menara pengawal. Kebanyakan mereka bersenjata senapang otomatik dan sedia untuk menembak warga Palestin jika merasa terancam.

Kedua mereka pun bersembunyi di dalam semak yang agak jauh dari jalan. Musab dan kawannya masing-masing sudah menyiapkan dua biji batu. Ketika azan berkumandang, bunyi enjin kenderaan terdengar. Mereka lantas melompat sambil melempar batu mereka ke arah sasaran. Kena.

Ternyata sekali yang menjadi sasaran bukanlah bas seperti yang dirancang, tetapi sebuah kenderaan tentera Zionis yang penuh dengan askar. Mereka bergegas berusaha mencari pembaling batu. Oleh kerana tidak menjumpainya, mereka melepaskan tembakan secara rambang ke udara. Musab dan kawannya bergegas lari menyelinap masuk ke dalam barisan solat.

Beberapa ketika setelah selesai solat Maghrib, kenderaan tentera Zionis berhenti di luar masjid. Gerombolan tentara Zionis menceroboh masuk ke dalam dan menyuruh semua ahli jemaah keluar. Mereka diperintahkan bertiarap dan kad pengenalan setiap orang diperiksa. Satu-satunya soalan yang ditanya adalah, siapa yang membaling batu sebentar tadi? Setelah beberapa jam, interogasi selesai dan tidak ada yang ditahan. Musab dan kawannya juga tidak ditahan.

Setelah kejadian itu, keduanya semakin berani dan teruja untuk beraksi lagi. “Saya betul-betul lega,” ujar Musab.

Sepanjang intifadah, tentera Israel membalas balingan batu, bom Molotov, dan sekatan jalan dengan tembakan peluru tajam. Hukuman secara kolektif juga dilakukan. Bekalan air, elektrik dan minyak dihentikan. Kampus-kampus di Tebing Barat ditutup hampir selama enam tahun sepanjang intifadah berlangsung. Di tahun pertama, waktu malam dikenakan perintah berkurung lebih dari 1,600 kali dan sekolah-sekolah terpaksa ditutup selama setahun. Seribu buah rumah dihancurkan atau dihalang daripada dimasuki. Hasil pertanian rakyat Palestin dilarang dijual. Keluarga mereka yang didapati membaling batu dikenakan denda yang sangat tinggi.

Intifadah ini merupakan kemuncak kemarahan rakyat Palestin terhadap tekanan yang dikenakan oleh penjajah rejim Zionis, termasuk pembunuhan secara sembrono, penangkapan besar-besaran, pemusnahan rumah dan pengusiran keluar dari kampung halaman. Kekecewaan kian menggunung apabila Israel menyekat kebenaran untuk membina rumah dan mengusahakan kebun pertanian. Sedangkan kepadatan keluarga atau penduduk meningkat, pengangguran juga melonjak tinggi. Ketika itu hanya satu dari lapan orang siswazah berjaya mendapatkan pekerjaan.

Sebaliknya, Israel terus meluaskan wilayah penempatan haram Yahudi di Gaza dan Tebing Barat serta mengembangkan kegiatan ekonomi mereka di kawasan tersebut.

Intifadah adalah akibat dari semua penghinaan yang dilakukan Israel terhadap bangsa Palestin.

Israel mengerahkan 80,000 askar bagi memadamkan Intifadah Pertama dengan membawa dasar “patahkan tulang rakyat Palestin” sehingga mengorbankan sekitar 1,087 warga Palestin. 160 orang Israel terbunuh.

Hari ini, setelah 28 tahun berlalu, rakyat Palestin masih lagi meneruskan intifadah. Namun kecekalan mereka bertahan begitu lama kini menampakkan hasil yang dicita-citakan, iaitu lahirnya pemuda yang akan meneruskan intifadah demi terbebasnya tanah air tercinta dan Masjid Al-Aqsa yang mulia dari penjajahan zalim Zionis Israel.

Intifadah Ketiga hari ini menonjolkan para pemuda yang berjuang dengan penuh kesedaran dan memikul tanggungjawab di atas didikan Al-Quran dan para guru yang telah melalui pengalaman yang perit dan berliku. Mereka bersabar dan cekal berjuang tanpa lelah, kerana masa yang dinantikan tetap akan tiba, dengan izin Allah SWT.

SHARE