Israel Luluskan Penempatan Baru di Baitulmaqdis Timur

Majlis Bandaraya Jerusalem telah meluluskan satu lagi penempatan haram yang baru bagi membina 32 unit rumah-rumah Yahudi di kawasan Pisgat Ze’ev di Baitulmaqdis Timur. Keputusan telah dibuat pada hari Isnin 12 Julai, kurang seminggu selepas pertemuan antara Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu, dengan Presiden Amerika, Barrack Obama di Washington.

Media Israel melaporkan bahawa undian untuk kelulusan tersebut sepatutnya dibuat pada minggu lalu, tetapi Netanyahu telah mengarahkan supaya ianya dibuat selepas pertemuan beliau dengan Obama.

Keputusan ini membenarkan pendatang haram Israel membina rumah mereka dengan serta merta. Kebenaran ini hanyalah sebahagian kecil daripada perancangan sebenar mereka untuk membina 250 unit penempatan haram di perkampungan Hizma. Kelulusan untuk membina sebanyak 48 unit rumah lagi dijangkakan akan dibuat pada minggu hadapan.

Pendudukan haram di Baitulmaqdis Timur dan kerja-kerja merampas secara paksa dan meroboh rumah milik rakyat Palestin di Baitulmaqdis, seterusnya menyerahkan tanah-tanah tersebut kepada pendatang Yahudi, merupakan satu tindakan yang kian memuncak, walaupun pihak antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah terus mendakwa tindakan itu sebagai bertentangan dengan Undang-undang Antarabangsa dan Konvensyen Geneva Ke-4. Malahan tindakan mereka itu sebenarnya merupakan satu jenayah perang, kerana mana-mana kuasa yang menduduki atau menakluki sesebuah daerah tidak dibenarkan membawa masuk rakyat awam mereka, samada sebahagian atau sepenuhnya, ke daerah yang mereka duduki.

Walaubagaimanapun, rejim Zionis mendakwa mereka mempunyai hak untuk membina penempatan baru di Baitulmaqdis Timur dan daerah-daerah lain yang mereka duduki di Tebing Barat. Mereka tetap enggan berbincang perkara-perkara yang menyentuh tentang meninggalkan penempatan yang dibina secara haram di daerah-daerah yang mereka duduki itu. 

Dalam perkembangan berkaitan, Netanyahu bersama-sama puak pelampau yang menyokong beliau kini sedang mengusahakan sebuah kempen yang digelar “Kedamaian Ekonomi” dengan pihak pemerintah Palestin, dengan meletakkan ekonomi Palestin bergantung sepenuhnya di bawah kuasa rejim Zionis itu. (mn/IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts