Israel mula tertekan dengan kehadiran konvoi Gaza

Tindakan Zionis Israel mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman ke atas konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza jelas menunjukkan mereka kini berada dalam keadaaan tertekan.

Presiden Insani Yardim Vakfi (IHH), Bülent Yildirim, dalam sidang media yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin NGO lain menyebut bahawa mereka tidak akan sekali-kali berundur walaupun satu langkah meskipun harus berhadapan dengan tindakan ganas tentera Israel sebagaimana yang disebut oleh media-media Israel.

“Setelah bertungkus-lumus selama 2 bulan bagi membuat persediaan konvoi ini, kini tibalah masanya untuk kita belayar ke Gaza. Semua peserta konvoi menunggu saat kini, dan kini kita sudah bersiap sedia,” kata Bülent yang bertutur dalam bahasa Turki.

Konvoi kemanusiaan antarabangsa ke Gaza ini akan membawa aspirasi kemanusiaan masyarakat dunia yang prihatin terhadap kesengsaraan rakyat Gaza. Berbagai dakwaan dibuat oleh media dan pemimpin Zionis bagi menghalang pergerakan konvoi ini.

“Ini hanyalah satu konvoi bantuan kemanusiaan, tidak ada tujuan lain. Semua mereka yang menyertai konvoi ini adalah mewakili NGO masing-masing. Kami tidak ada apa-apa hubungan, kecuali keikhlasan kami untuk sama-sama membantu rakyat Gaza. Itulah yang menyatukan kami,” tegas Bülent.

Wakil-wakil NGO daripada lebih 50 buah negara akan menyertai konvoi ini.

Israel turut mengumumkan “perang psikologi” terhadap konvoi ini dengan ugutan bahawa mereka telah menyiapkan sebuah pusat tahanan di Sderot khusus untuk menangkap peserta-peserta konvoi.

“Bayangkanlah, semua pihak di Israel, sama ada Presiden mahupun Perdana Menteri, memberi perhatian yang serius terhadap misi kemanusiaan ini. Apakah mereka fikir kami takut kepada ugutan mereka? Kapal-kapal kami membawa 15,000 tan bantuan kemanusiaan, dan kami tidak faham kenapa Israel ingin menghalang,” tambah Bülent lagi.

Bülent turut menjelaskan bahawa tindakan menghantar konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza ini bukanlah suatu perkara yang dibuat secara tergesa-gesa, sebagaimana yang didakwa oleh setengah pihak.

Dalam sidang media tersebut, Bülent telah menunjukkan beberapa pucuk surat yang menjadi bukti kenyataan beliau itu. Menurut beliau, IHH telah menghantar surat permohonan kepada Kedutaan Israel di Turki untuk menghantar bantuan ke Gaza pada 11 hb Februari 2009, iaitu 3 hari selepas tamatnya serangan brutal Operation Cast Lead. IHH juga telah menghantar permohonan yang sama kepada Kedutaan Mesir di Turki.

“Kami telah melakukan usaha terbaik untuk menyelesaikan permasalahan di Gaza secara diplomasi. Tapi sehingga hari ini kami tidak mendapat apa-apa reaksi daripada mereka. Kami bukanlah secara tiba-tiba ingin ke Gaza. Kami telah membuat peracangan yang begitu lama,” jelas Bülent.

Seramai 35 orang ahli parlimen daripada Eropah dan Asia Tengah akan turut menyertai konvoi ini. “Tapi kami tidak akan membawa mana-mana ahli parlimen daripada Turki, tidak seorang pun,” kata Bülent.

Malahan beliau telah menolak permintaan mana-mana ahli parlimen Turki untuk turut menyertai konvoi ini.

“Jika kita membawa ahli-ahli parlimen Turki, mereka (Israel) akan mendakwa bahawa konvoi ini ditaja oleh kerajaan Turki. Konvoi ini tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan Turki,” jelas Bülent lagi.

Ada juga pihak yang mendakwa bantuan ini ditujukan kepada pihak Hamas. Bülent menjawab, “Pihak Berkuasa Palestin (PA), golongan berhaluan kiri, Hamas dan lain-lain mempunyai urusan mereka sendiri. Urusan kami pula hanyalah untuk menghantar bantuan kepada rakyat Gaza yang sangat memerlukan. Jika mereka cuba mengaitkan kami dengan mana-mana organisasi tersebut, mereka telah melakukan satu kesilapan,” tegas Bülent lagi.

Beliau turut memberi amaran kepada Israel bahawa jika mana-mana peserta konvoi ditangkap atau dicederakan, demonstrasi secara besar-besaran akan diadakan di lebih 100 buah negara.

“Kepada rakyat Israel, kalau kerajaan anda terus dengan polisi mereka (menghalang bantuan kemanusiaan), negara kamu akan ditinggalkan bersendirian kerana kamu bermusuh dengan semua negara. Akhirnya akan berlaku embargo pula ke atas kamu, kerana kamu menentang kemanusiaan. Sekiranya kami masih hidup ketika kamu dikenakan embargo itu, kami berjanji bahawa kami akan bertindak ke atas kerajaan kamu dan berjuang membantu kamu,” jelas Bülent disambut dengan tepukan gemuruh.

“Saya percaya dunia ini cukup luas untuk setiap kita hidup dengan aman,” sambung beliau.

Sidang media tersebut turut disertai oleh seorang ahli parlimen Israel, Hanin Zo’bi dan Ketua Bishop Vatican, Ilariona Kapuci. Dalam ucapannya, Kapuci menegaskan bahawa mereka akan terus menghantar bantuan ke Palestin sehinggalah al Quds dibebaskan menjadi ibukota Palestin merdeka.

“Kami tidak peduli apa yang akan berlaku ke atas kami, hinggalah Palestin dibebaskan,” hujah beliau penuh bersemangat.

Tekanan ke atas Zionis semakin ketara apabila media-media Israel cuba menghubungi Bülent untuk membuat wawancara dan liputan berita.

Mohd Nizam Awang,

Media HALUANPalestin Yang Turut Menyertai Konvoi Kemanusiaan Bantuan Ke Gaza

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts