Jadikan hari Jumaat akan datang sebagai hari mempertahankan al Aqsa

KAHERAH – Berikutan perkembangan tegang yang sedang berlaku di Masjid al Aqsa, Sheikh Yusuf al Qaradawi menyeru kepada semua umat Islam dan bangsa Arab supaya menjadikan hari Jumaat terdekat ini sebagai hari mempertahankan al Aqsa dan menentang ancaman dan tindakan merbahaya pengganas Israel ke atas Masjid suci itu.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Kaherah, Sheikh Qaradawi memberi amaran bahawa ancaman bahaya Zionis ke atas Masjid al Aqsa kini sudah sampai ke tahap yang kritikal, yang harus dilawan dengan apa cara sekalipun.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pelancongan Palestin, Muhamed al Agha, melaporkan Isnin lalu bahawa pelampau Yahudi dan askar-askar Zionis telah menaiki hingga ke bumbung sekolah dan rumah-rumah di sekitar Masjid al Aqsa dengan tujuan membuat serangan dan memaksa ratusan rakyat Palestin yang beri’tikaf di dalam Masjid itu keluar. Seramai 200 orang rakyat Palestin menempatkan diri mereka, beri’tikaf  di dalam masjid untuk mempertahankan al Aqsa daripada dinodai Yahudi.

Menyentuh perkembangan terkini di Masjid al Aqsa, seorang ahli biro politik Hamas, Ezzat al Resheq berkata bahawa tindakan Zionis mengepung penduduk Palestin yang beri’tikaf di dalam Masjid tersebut merupakan satu jenayah baru yang bertujuan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja memusnahkan Masjid mulia itu dan mendirikan apa yang mereka dakwa sebagai sinagog ketiga Yahudi di atas runtuhan al Aqsa. Al Resheq memuji keberanian dan kesungguhan rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang terus mempertahankan al Aqsa dan berhadapan dengan kekuatan tentera Zionis dengan tangan kosong mereka. Beliau mendesak dunia Arab dan Islam supaya membantu mempertahankan al Aqsa.

Lewat petang semalam (Isnin 5 Oktober) telah berlaku beberapa lagi pertempuran di antara warga Palestin dan polis Zionis di dalam Masjid al Aqsa, setelah pasukan Zionis itu cuba memasuki Masjid untuk menangkap jamaah yang beri’tikaf sejak dua hari lalu. Menurut wartawan di tempat kejadian, polis Zionis memberi amaran menggunakan pembesar suara, memberi tempoh 15 saat kepada jamaah untuk menyerah diri, atau mereka memecah masuk secara paksa ke dalam Masjid Qibali, iaitu masjid utama al Aqsa.

Dalam kenyataan mereka melalui radio tempatan, jamaah yang berada di dalam Masjid menegaskan bahawa mereka lebih memilih untuk mati syahid dalam rangkan membela Masjdi al Aqsa daripada menyerah kepada Zionis. Sehubungan dengan kenyataan itu, Zionis telah menggangu talian talipon di dalam Masjid bagi menghalang komunikasi jamaah dengan media.

Israel terus meletakkan syarat bahawa hanya lelaki berumur lebih dari 50 tahun dan memiliki kad pengenalan Israel dibenarkan memasuki Masjid al Aqsa. Tidak ada sekatan dikenakan ke atas wanita. [mn/PIC/Ma’an]

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts