RAMALLAH, 8 Nov 2018 — Mahkamah tentera Zionis hari ini membebaskan Fayrouz Naalwa, 35, setelah mengurung beliau selama 28 hari. Beliau merupakan kakak kepada suspek penyerang yang membunuh dua pendatang Yahudi di zon industri Barkan pada 7 Oktober lalu, Ashraf Naalwa.

Fayrouz turut dikenakan denda sebanyak 4,500 Shekel (RM5,040).

Beliau yang merupakan seorang pensyarah universiti ditahan pada 11 Oktober, dua hari selepas tentera Zionis menangkap ahli-ahli keluarganya bagi memberi tekanan kepada Ashraf supaya menyerah diri.

Menurut Fayrouz, beliau melalui proses interogasi intensif selama 20 jam sehari, diugut dan dilayan dengan zalim. Beliau juga tidak dibenarkan berjumpa peguamnya selama sembilan hari.

Fayrouz tidak dapat tidur selama 10 hari, dan dipenjara dalam kurungan berseorangan selama 20 hari.

Tentera Zionis masih menjalankan operasi besar-besaran memburu Ashraf, di samping mengugut penduduk yang cuba membantu beliau. Mereka masih menahan ibunya, Wafaa, dan abangnya, Amjad. Kedua-dua mereka adalah bekas tahanan penjara Zionis.

(Maan, WAFA)

SHARE