Kapal al-Awda akan belayar ke Gaza pertengahan Mei

GAZA, 22 April 2018 — Freedom Flotilla Coalition (FFC) hari ini mengumumkan bahawa kapal al-Awda akan belayar dari Norway menuju ke Gaza pada 15 Mei, bersempena hari ulang tahun peristiwa hitam Nakba 1948.

Kenyataan yang dikeluarkan melalui International Committee to Break the Siege menyebut bahawa pelayaran kapal tersebut merupakan satu kempen baharu bagi memecah sekatan Zionis ke atas Gaza, yang akan dilancarkan dari Eropah Utara dengan slogan “demi keadilan masa depan Palestin”.

Kempen ini menjadi lebih bermakna kerana ia dilancarkan bersempena kemuncak Great Return March di Gaza pada 15 Mei, yang mendesak hak bagi semua pelarian Palestin kembali semula ke tanah air mereka.

Timbalan Pengerusi IHH Turki, Huseyin Oruc, dalam kenyataannya menyebut bahawa kempen tersebut bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat dunia tentang kesengsaraan penduduk Gaza yang disekat secara tidak berperikemanusiaan, serta menyokong hak pelarian Palestin untuk kembali.

Al-Awda dijadualkan singgah di beberapa buah pelabuhan Eropah termasuk di Britain, Itali, Sepanyol dan Greece sebelum menuju ke Gaza.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts